SUSULAN isu borang rentas negeri kosong yang sudah lengkap ditandatangani, seorang wanita akhirnya tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, Terengganu untuk memberi keterangan. Menurut Ketua Polis Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, wanita berusia 28 tahun itu tiba di IPD Kemaman pada pukul 11.30 pagi, Khamis. "Wanita berkenaan disiasat berhubung salinan borang rentas negeri kosong dikeluarkan Balai Polis Chukai dengan tandatangan Ketua Polis Balai Chukai berserta tulisan 'Dapat info terbaru ialah 'approve' dulu baru isi 'form' yang ditularkan di media sosial," katanya dalam satu kenyataan. ARTICLE BERKAITAN: Hangat di media sosial, polis akhirnya buka siasatan isu borang rentas negeri kosong sudah ditandatangani Tambah Hanyan, polis membuka kertas siasatan berhubung isu borang rentas negeri kosong berserta cop dan tandatangan yang ditularkan di media sosial. Ujarnya, siasatan awal yang dijalankan mendapati terdapat pemalsuan tandatangan milik Ketua Polis Balai Chukai, Inspektor Mohamad Ramizan Ramli pada borang tersebut. Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan bagi maksud menipu dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian), katanya. "Bagi kesalahan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan, orang yang dituduh (OKT) boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan. "Bagi kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) OKT boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan," katanya. Hanyan sebelum ini berkata, borang rentas negeri itu diberikan kepada seorang wanita untuk ke Kuala Lumpur bagi menghadiri temuduga yang dijadualkan pada Khamis. Pada Rabu, tular kemas kini di media sosial berhubung borang rentas negeri kosong bertandatangan dan cop dari Balai Polis Chukai dengan ayat 'Dapat info berbaru ialah 'approve' dulu baru isi 'form'. - SINAR HARIAN Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!