suria

FTP perkasa pembangunan industri perkayuan negara, 14 syarikat peroleh geran RM1.4 juta

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, jalinan persefahaman itu bertujuan memperkasakan pembangunan industri perkayuan di negara ini.

PROGRAM Transformasi Kilang (FTP) yang dilaksanakan kerajaan memberi manfaat kepada industri perkayuan menerusi peruntukan dalam bentuk geran bernilai RM1.4 juta, sekali gus dapat memenuhi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, sebanyak 14 syarikat terpilih menyertai program tersebut yang dilaksanakan selama setahun bermula pada Disember tahun lalu.

“Sirim STS Sdn Bhd akan membiayai 80 peratus yuran penyertaan bagi mereka yang mengikuti program ini sementara 20 peratus lagi akan dibiayai Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC), ” katanya kepada pemberita di pejabat Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) di Menara PGRM dekat Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pelaksanaan FTP dimeterai antara MTIB, MTC dan Sirim STS Sdn Bhd.

Menurut Wee, jalinan persefahaman itu bertujuan memperkasakan pembangunan industri perkayuan di negara ini melalui penggunaan teknologi automasi dan inovasi berkaitan Industri 4.0 melalui penyediaan insentif bagi menggalakkan penggunaan automasi serta mekanisasi.

Malah katanya, program tersebut akan menyokong dan membantu syarikat industri perkayuan terlibat menjalankan penilaian dan kajian diagnostik kilang untuk mengenal pasti ketidakcekapan dan pembaziran melalui aplikasi alat dan teknik Green 5S dan pengurusan Lean.

“Penganjuran program pengurusan Lean dan Green 5S oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) sejak 2014 telah memberi manfaat kepada 171 syarikat di mana RM89.6 juta penjimatan telah dihasilkan.

“Pada tahun ini, MTIB akan meneruskan aktiviti ini selain menerbitkan satu buku rujukan yang berjudul ‘Aplikasi Lean dalam Industri Perkayuan', ” katanya.

Jelas Wee, FTP juga akan melatih syarikat pembuatan untuk meningkatkan penggunaan dan pelaksanaan Green 5S, teknik dan kualiti peralatan, pengurusan serta inovasi.

Tambahnya, program itu akan mengenal pasti dan membangunkan garis panduan serta amalan yang dapat diguna pakai syarikat selain membimbing mereka untuk mengenal pasti platform teknologi maklumat dan teknologi Internet of Things (IoT) yang relevan dengan kerjasama penyedia penyelesaian.

Kata beliau, penggunaan teknologi adalah penyelesaian terbaik bagi industri perkayuan untuk terus berdaya saing di peringkat domestik dan juga antarabangsa.

“Industri tidak lagi bergantung pada kaedah konvensional dan perlu beralih ke arah digital dalam sistem pengeluarannya.

“Selain dapat mengurangkan kebergantungan pekerja, penggunaan teknologi tinggi juga dapat membantu syarikat menguruskan kos operasi dengan lebih efisien dan efektif," katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan cabaran baru yang dihadapi industri perkayuan di negara ini memerlukan perubahan sejajar dengan transformasi digital untuk terus berdaya saing di pasaran global.

“Oleh itu, kerjasama strategik antara MTIB, MTC dan Sirim STS adalah inisiatif terbaik dan tepat pada masanya untuk meningkatkan penggunaan automasi dan inovasi dalam industri perkayuan, sejajar dengan usaha kerajaan dan pembangunan IR4.0, ” katanya.

Turut hadir Ketua Pengarah MTIB Mohd Kheiruddin Mohd Rani, Ketua Pegawai Eksekutif MTC Muhtar Suhaili, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sirim Berhad, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad, dan Ketua Pegawai Eksekutif Sirim STS Sdn Bhd, Raja Yahya Raja Ariffin.

Artikel Lain