suria

[VIDEO] Iklan judi Aidilfitri: Pendakwah bimbang perkara tak baik dinormalisasi, gesa tindakan segera - “Tetap haram, tak OK ‘dicucikan’ dengan ucapan Selamat Hari Raya”

MELAMPAU!

Begitulah rata-rata komen mereka yang menyaksikan video iklan bertemakan Hari Raya yang dilakukan oleh sebuah syarikat judi dalam talian, sehingga mengundang kontroversi.

Iklan tersebut mempromosikan aktiviti perjudian dengan menggunakan lagu hari raya Aidilfitri sebagai muzik latar, sekali gus menyinggung sensitiviti umat Islam.

ARTIKEL BERKAITAN: SKMM bertindak! Minta FB, Twitter, YouTube turunkan video iklan judi Aidilfitri

ARTIKEL BERKAITAN: Klip video lagu raya ajak orang ramai main judi, pelakon Melayu juga bersubahat! Tak hirau sensitiviti umat Islam

Susulan kekecohan itu, pendakwah bebas dan Pencetus Ummah (PU) Amin berpandangan bahawa sama ada ia dilakukan secara gurauan atau tidak, perkara tersebut dilarang sama sekali kerana judi adalah haram dalam Islam.

"Benda ni sama ada betul atau gurauan memang tak boleh, benda haram tak boleh buat main-main, ini siap dilagukan... siap ajak begitu, promosi dan ramai yang kaji dan mencuba," katanya kepada mStar, Jumaat.



Salah satu babak dalam iklan tersebut.

Sehubungan itu, PU Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim berkata, pihak berkuasa seharusnya mengambil tindakan segera dalam membendung promosi seumpama itu yang boleh menggalakkan aktiviti perjudian.

"Kalau pihak berkuasa tak bendung maka agensi judi boleh bermaharajalela promosi dgn cara begini. Raya bukan nak kena mesti sampai cari duit guna jalan haram begini.

"Moga Ramadan memberi peluang kepada kita untuk berfikiran mengikut cara Rasul kita," ujar PU Amin.

Sementara itu, Pencetus Ummah (PU) Azman pula berkata, penyiaran video iklan tersebut menimbulkan kebimbangan selain niat dalam penyampaiannya tidak menghalalkan cara.

"Kita bimbang ia menjadi satu normalisasi ke arah perkara yang haram dan jadi okay bila 'dicucikan' dengan ucapan Selamat Hari Raya... tak boleh.

"Niat tidak menghalalkan cara. Kedua, perkara yang baik kita buat tidak boleh 'mencuci' dengan perkara yang haram dalam video itu. Kalau betul ia adalah satu bentuk perjudian, maka hukumnya haram.

"Kita bimbang telinga-telinga yang mendengar video tersebut seolah-olah cenderung dengan perbuatan judi itu," katanya ketika bersiaran di saluran radio Suria FM, pagi Jumaat.



Penglibatan pelakon yang dipercayai beragama Islam turut dipersoalkan.

PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias turut menyentuh mengenai penglibatan pelakon-pelakon iklan tersebut yang dipercayai beragama Islam.

"Isunya semua yang dalam video itu adalah umat Islam, dia mengetahui bahawa dia sedang mempromosi sesuatu. Kalau dia tahu, maka tak sewajarnya termasuk kita yang mendengar dan berasa seronok dengan video itu.

"Bantu-membantulah kamu dalam urusan yang baik dan takwa, dan jangan bantu-membantu dalam urusan dosa dan permusuhan," kata PU Azman.

Iklan yang dikeluarkan sebuah syarikat judi berdurasi dua minit itu turut dikecam kerana menggunakan pelakon dipercayai beragama Islam.

Iklan tersebut mengajak orang ramai meraih wang berganda dengan menggunakan perkhidmatan syarikat mereka bagi mencari dana untuk berhari raya.

Difahamkan, video iklan tersebut dimuat naik hampir seminggu lalu di YouTube. Namun hasil carian di laman berkenaan mendapati iklan tersebut sudah dipadamkan kerana melanggar garis panduan komuniti YouTube.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain