suria

Pandemik bukan penghalang, SME Corp. Malaysia terus komited bantu PKS di negara ini... ramai dapat manfaat

Pertumbuhan PKS akibat kehadiran pandemik Covid-19 dijangka perlahan sebelum ia kembali pulih.

PANDEMIK Covid-19 yang melanda ternyata memberi impak luar biasa terhadap masyarakat dunia.

Tidak terkecuali tentunya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini yang teruk terkesan khususnya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020.

Menurut Pengerusi SME Corp. Malaysia, Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee, pihaknya sentiasa berusaha membantu PKS untuk terus maju dengan pelbagai inisiatif dan program sejak ia ditubuhkan 25 tahun lalu.

Sebagai agensi penyelaras pusat yang menyelaras pelaksanaan program pembangunan PKS merentasi kementerian dan agensi, SME Corp. Malaysia mewujudkan pelbagai usaha dalam mengukuhkan PKS tempatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy, PKS terus mengatasi pertumbuhan ekonomi keseluruhan sejak tahun 2004, namun menghadapi cabaran pada tahun lepas susulan pandemik yang melanda.

"Pertumbuhan PKS diunjurkan menguncup pada kadar 5.4 peratus pada tahun 2020, selari dengan penguncupan ekonomi keseluruhan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy.

"Kelemahan dalam eksport, pengeluaran dan permintaan dalam negeri berlaku susulan PKP dan langkah dalam membendung Covid-19.

"Aktiviti ekonomi dalam negeri yang lemah menyebabkan kemerosotan dalam situasi pasaran buruh dan kerugian pendapatan, lantas menjejaskan perbelanjaan pengguna," ujar Rizal.

Tambah beliau, pertumbuhan PKS dijangka perlahan sebelum ia kembali pulih.

Semasa PKP jelas beliau, 72.4 peratus PKS menutup operasi perniagaan buat sementara waktu manakala 58.6 PKS tidak mencatatkan sebarang jualan.

Data itu diperoleh berdasarkan kaji selidik mengenai kesan penularan Covid-19 dan pakej rangsangan ekonomi untuk PKS pada 2 sehingga 8 April 2020 oleh SME Corp. Malaysia melibatkan 982 PKS.

Pasca PKP pula, kadar penurunan jualan berkurang daripada 62.5 peratus kepada 49.6 peratus.

Pemberhentian kerja juga menurun daripada 14.2 peratus kepada 12.0 peratus manakala penutupan operasi perniagaan berkurang daripada 1.6 peratus kepada 1.4 peratus, dibantu dengan pakej rangsangan ekonomi oleh kerajaan.

Menurut Rizal, prospek pertumbuhan PKS dijangka kembali pulih pada tahun 2021, selari dengan unjuran peningkatan pertumbuhan ekonomi keseluruhan pada 6.0 sehingga 7.5 peratus.

Kelemahan dalam eksport, pengeluaran dan permintaan dalam negeri berlaku susulan PKP.

"Pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi dan Belanjawan 2021 membantu PKS meringankan kekangan aliran tunai dan meningkatkan daya tahan perniagaan.

"Jangkaan peningkatan permintaan luaran, sektor pembuatan dan pengeluaran komoditi serta pelaksanaan yang berterusan dalam projek infrastruktur oleh kerajaan dijangka dapat memacu pemulihan, pertumbuhan PKS di sektor pembuatan, pembinaan dan pertanian.

"Langkah pembiayaan yang berterusan serta kadar faedah yang rendah dapat memberi sokongan kepada pertumbuhan PKS.

"Langkah membendung pandemik Covid-19 dan peningkatan sentimen pengguna berikutan pemberian vaksin mendorong pemulihan sektor terjejas," ujar beliau.

Bagi mengurangkan kesan Covid-19 dan membantu pemulihan ekonomi, sejumlah RM662.5 bilion telah diperuntukkan oleh kerajaan dengan sejumlah RM143 bilion untuk memberi manfaat kepada PKS, secara langsung atau tidak langsung.

SME Corp. Malaysia juga akan terus menyediakan pelbagai inisiatif berkaitan teknologi dan digitalisasi PKS.

Dalam tempoh pandemik juga, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk menggalakkan digitalisasi dalam kalangan PKS.

Antaranya, internet 1GB percuma untuk menyokong aktiviti e-pembelajaran dan produktiviti, RM700 juta geran dan pinjaman kepada syarikat yang layak untuk menerap atau melanggan digitalisasi serta RM70 juta dana untuk PKS termasuk perusahaan mikro yang layak untuk menggunakan platform e-dagang.

Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan geran padanan untuk platform ekonomi gig yang menyumbang kepada perlindungan sosial pekerja gig, RM700 juta untuk Kemudahan Automasi dan Digitalisasi serta RM200 juta pembiayaan pengembangan automasi, digitalisasi dan penggunaan teknologi hijau.

Seterusnya, RM200 juta pinjaman mudah untuk membiayai pembelian mesin dengan insentif geran sehingga 20 peratus daripada nilai mesin serta RM50 juta Geran Automasi Pintar untuk PKS dan syarikat peringkat pertengahan menambah kecekapan operasi dan pembuatan.

Kesemua ini selari dengan Malaysia Digital Economy Blueprint iaitu rangka tindakan yang dirumus bagi menetapkan arah, merangka strategi, inisiatif dan sasaran demi membangunkan asas untuk memacu pertumbuhan ekonomi digital, termasuk merapatkan jurang digital.

Menurut Rizal, SME Corp. Malaysia juga akan terus menyediakan pelbagai inisiatif berkaitan teknologi dan digitalisasi PKS.

Antaranya, Inclusive SME Ecosystem (I-SEE), Program Peningkatan Industri Strategik dan Syarikat Berprestasi Tinggi (PRESTIGE), Technology Need Pitching (TNP), SME Adopt and Innovative Digital Bersama Huawei (SME AI), kerjasama bersama Facebook Malaysia dan pensijilan 1-InnoCERT.

Pada tahun 2021, SME Corp. Malaysia turut menggariskan program utama untuk PKS yang mana ia dipecahkan kepada tiga kumpulan merangkumi Perusahaan Mikro dan Komuniti B40, PKS Berpotensi dan Berpertumbuhan Tinggi dan Pembiayaan untuk PKS.

Untuk rekod, program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang dimulakan pada 2014 sudah berjaya melatih 5,766 PKS dengan jualan terkumpul RM127.17 juta dan 10,581 pekerjaan baharu.

SME Corp. Malaysia turut aktif melalui platform Facebook dan YouTube yang menyajikan video slot perbincangan serta kisah-kisah kejayaan PKS.

Jangan lupa layari laman sesawang www.smecorp.gov.my dan www.smeinfo.com.my serta ikuti laman sosial mereka di Facebook, Twitter dan jangan lupa tanda pagar #RakanPKS.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain