suria

SKMM bertindak! Minta FB, Twitter, YouTube turunkan video iklan judi Aidilfitri

Tangkapan skrin vdeo iklan raya mempromosikan aktiviti judi yang tular di media sosial.

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan terhadap iklan ‘raya’ mempromosikan aktiviti perjudian, yang kini tular di media sosial.

SKMM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berkomunikasi dengan penyedia platform media seperti Facebook, Twitter dan YouTube supaya menurunkan video itu yang mempromosikan aktiviti judi.

"SKMM telah berkomunikasi dengan penyedia platform media seperti Facebook, Twitter dan YouTube untuk menurunkan kandungan berkenaan mengikut terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan oleh mereka, yang berpangkalan di luar negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Klip video lagu raya ajak orang ramai main judi, pelakon Melayu juga bersubahat! Tak hirau sensitiviti umat Islam

ARTIKEL BERKAITAN: Iklan judi Aidilfitri: Pendakwah bimbang perkara tak baik dinormalisasi, gesa tindakan segera - "Tetap haram, tak OK 'dicucikan' dengan ucapan Selamat Hari Raya"

"Kegiatan judi dan promosi judi dalam talian adalah tertakluk di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM)," menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Menurut SKMM, pihaknya sejak 12 Mac lalu menyekat secara laluan pantas (fast-track) dengan kerjasama PDRM untuk mengarahkan penyedia perkhidmatan internet menyekat akses ke atas laman sesawang yang melanggar undang-undang.

"Pada masa sama, pihak yang terlibat seperti produksi dan pelakon seharusnya lebih peka untuk tidak turut sama bersubahat dalam kegiatan mempromosikan judi dalam talian, yang jelas merupakan satu kesalahan.

"Penghasilan kandungan adalah tertakluk kepada Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia untuk dipatuhi oleh mereka yang terlibat dengan penghasilan dan pengedaran kandungan," katanya.



Salah satu babak dalam video iklan.

Sementara itu, SKMM berkata, dalam kebebasan menyediakan kandungan, penyedia harus mengikuti kod kandungan yang sesuai dengan norma masyarakat Malaysia yang majmuk.

"Pengguna media sosial juga perlulah lebih bertanggungjawab dengan melaporkan perkara-perkara sebegini secara terus kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan mereka dan bukannya menyebarkan kandungan berkenaan.

"Perbuatan menyebarluaskan kandungan berkenaan hanya akan membantu secara langsung pihak yang terlibat dalam menyebarkan dakyah mereka mempromosikan perjudian dalam talian yang boleh memudaratkan masyarakat Malaysia," katanya.

Terdahulu, tular video iklan bertemakan Hari Raya yang dilakukan oleh sebuah syarikat judi dalam talian, sehingga mengundang kontroversi.

Iklan tersebut mempromosikan aktiviti perjudian dengan menggunakan lagu hari raya Aidilfitri sebagai muzik latar, sekali gus menyinggung sensitiviti umat Islam.

Berdurasi dua minit, iklan tersebut mengajak orang ramai meraih wang berganda dengan menggunakan perkhidmatan syarikat mereka bagi mencari dana untuk berhari raya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain