UJIAN Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan sepenuhnya bermula 2021, manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) untuk tahun ini dibatalkan. Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pada sidang media khas, petang Rabu. "Antara asas utama dalam kita mempertimbangkan keputusan membatalkan PT3 untuk 2021 adalah mengambil kira masa yang ada bagi murid-murid membuat persediaan khususnya secara bersemuka bersama guru-guru di sekolah. "Kita lihat keadaan penularan Covid-19 masih belum dapat ditangani sepenuhnya," katanya. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] Mohd Radzi berkata, ia juga mengambil kira dengan kaedah pentaksiran murid masih boleh diteruskan tanpa pelaksanaan PT3 pada tahun ini. "Jadi, bagi pelajar Tingkatan 3 tahun ini, pentaksiran akan dibuat sama seperti tahun lalu iaitu melalui tiga komponen utama iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK)," katanya. Bagi pemansuhan UPSR sepenuhnya, beliau menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat berdasarkan kajian dan libat urus yang dibuat bersama pihak berkepentingan akibat Covid-19. "Bila tak ada UPSR, kita akan memperkasakan pentaksiran berasaskan sekolah mulai 2021 dan kementerian dalam usaha memperkasakan PBD secara menyeluruh mulai 2021," katanya. Tambah beliau, pihaknya akan memperkasakan pentaksiran berasaskan sekolah selain Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi murid yang berhasrat memasuki sekolah berasrama penuh dan sebagainya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!