suria

Keadaan lebih buruk kalau tak laksana PKP - “Saya bukan zalim... ini untuk lindungi nyawa”

Muhyiddin ketika menyampaikan perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri yang disiarkan di saluran televisyen tempatan, malam Rabu.

KEPUTUSAN kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara meskipun bukan satu keputusan yang popular, namun ia terpaksa diambil ketika negara kini berada pada satu titik genting yang memerlukan respon segera.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya tiada langkah segera dilaksanakan.

Beliau merujuk kepada perkembangan terkini di mana kes positif Covid-19 mencatatkan ribuan angka setiap hari, malah lebih membimbangkan, terdapat varian baharu yang lebih ganas dikesan di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PM umum PKP seluruh negara, ziarah Aidilfitri tak dibenarkan

"Pada masa ini, hospital-hospital di negara kita telah hampir mencapai kapasiti maksima. Katil-katil wad ICU semakin penuh. Kita boleh menambah jumlah katil, bekalan oksigen dan ventilator.

"Tetapi jika kes-kes positif naik dengan mendadak, sebanyak mana katil dan lain-lain kelengkapan perubatan yang disediakan pun tidak akan mampu menampung jumlah pesakit yang kian bertambah setiap hari.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Dengan perkembangan terbaharu ini, negara kita sedang berada pada satu titik genting yang memerlukan respon segera kerajaan.

"Jika tiada tindakan tegas dan drastik diambil, negara kita boleh terjerumus ke dalam suatu malapetaka kesihatan dan krisis nasional yang parah, na'uzubillah," katanya dalam rakaman perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri malam ini yang disiarkan di stesen televisyen tempatan.

Tambah Muhyiddin, beliau sama sekali tidak berniat untuk bersikap zalim apabila mengumumkan pelaksanaan PKP namun ia dilakukan sebagai ikhtiar untuk menyelamatkan kehidupan dan masa depan rakyat.

"Ada yang marah kepada saya. Kenapa ambil tindakan begini ketika umat Islam akan menyambut 1 Syawal esok. Sudahlah tak boleh balik kampung. Nak ziarah keluarga dan sahabat handai pun tak boleh. Zalim sangatkah kerajaan ini?," ujarnya.

Beliau turut memberi contoh bagaimana penularan boleh berlaku dengan mudah sekiranya rakyat bebas dan dibenarkan melakukan aktiviti ziarah Aidilfitri.

"Saudara-saudari, saya bukan zalim. Saya ambil keputusan ini untuk lindungi nyawa saudara-saudari. Kalau saya benarkan ziarah dari rumah ke rumah, mana lah tahu ada tetamu yang datang ke rumah saudara-saudari itu positif Covid-19.

"Ini kerana ramai pesakit Covid-19 tidak menunjukkan apa-apa simptom. Dia sendiri pun tidak tahu dia dijangkiti. Situasi seperti ini akan menyukarkan lagi usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

"Bayangkan kalau tetamu ini datang ke rumah saudara-saudari, maka berjangkitlah penyakit itu kepada saudara-saudari. Kalau dia ziarah 10 buah rumah, maka 10 keluarga akan dijangkiti Covid-19.

"Akhirnya, habis sahaja kita merayakan Aidilfitri, jumlah kes positif Covid-19 di negara kita berkemungkinan melonjak ke puluhan ribu sehari, nauzubillahi min zalik," ujarnya.

Justeru, Muhyiddin menyeru rakyat untuk meningkatkan disiplin diri serta mematuhi SOP pada setiap masa.

Dalam perutusannya juga, Muhyiddin turut menzahirkan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan atas pengorbanan dan penat lelah mereka bertugas untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain