suria

Wanita warga asing kantoi sembunyi dalam bonet kereta untuk rentas negeri tanpa kebenaran

Taktik seorang wanita warga asing yang bersembunyi di dalam bonet untuk mengelak sekatan jalan raya berjaya dihidu polis.

POLIS menggagalkan cubaan seorang pemandu e-hailing untuk 'menyeludup' seorang wanita Indonesia di dalam bonet ketika melalui sekatan jalan raya di Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah, pada Rabu.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, kereta Proton Bezza yang dipandu lelaki berusia 27 tahun itu ditahan anggota polis yang bertugas sebelum pemeriksaan di bahagian bonet mendapati wanita berusia 28 tahun dari Nilai, Negeri sembilan berada dalam keadaan terbaring.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Arshad Abu berkata, soal siasat awal mendapati pemandu yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu mahu menghantar wanita yang tidak mempunyai pasport perjalanan sah itu berjumpa suaminya yang telah setahun tidak bertemu di Rembia, Alor Gajah.

Menurutnya, wanita yang sebelum itu duduk di bahagian belakang kenderaan, bertindak masuk ke dalam bonet sebelum melalui SJR berkenaan dan perbuatan itu dilihat anggota yang bertugas.

"Ketika kejadian anggota bertugas terdiri daripada empat anggota polis, dua anggota tentera dan seorang petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Penahanan lelaki itu kemudian membawa kepada tangkapan kedua yang dimaklumkan dari Nilai untuk ke Rembia, Alor Gajah," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Arshad berkata, kedua-dua mereka ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Lelaki itu turut disiasat di mengikut Seksyen 56(1)(D) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing tanpa dokumen yang sah.

"Wanita itu pula disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tiada pengenalan diri yang sah," katanya. - SINAR HARIAN

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain