suria

Awas! ‘Dine-in’ dalam kenderaan dilarang

Perkhidmatan 'dine in' dalam kenderaan tidak dibenarkan. -gambar hiasan foto Reuters

ORANG ramai bukan sahaja tidak dibenarkan makan di premis makanan buat masa ini, malah perkhidmatan 'dine-in' di dalam kenderaan juga dilarang.

Perkara itu diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang tidak membenarkan perkhidmatan 'dine-in' di dalam kenderaan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini kerana belum ada prosedur operasi standard (SOP) yang membenarkan premis makanan menyediakan perkhidmatan seumpama itu.

"Jadi setakat ini selagi belum ada keputusan atau SOP baharu tentang ini (sediakan perkhidmatan 'dine-in' di dalam kenderaan) memang tidak bolehlah buat masa sekarang," katanya pada sidang akhbar Pengumuman (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021 secara maya pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada perkhidmatan 'dine-in' di dalam kenderaan dibenarkan atau sebaliknya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail pada Ahad menegaskan premis makanan yang menyediakan layanan 'dine-in' di dalam kereta adalah melanggar SOP.

Jelasnya, tindakan kompaun boleh dikenakan ke atas pengusaha premis yang menyediakan layanan sedemikian.

Ia susulan tular di media sosial mengenai inisiatif baharu 'park-and-dine' yang menggantikan dine-in di restoran ekoran SOP mengekang penularan Covid-19 di Sarawak.

Menjelaskan lebih lanjut, Nanta berkata, idea untuk menyediakan perkhidmatan sedemikian kemungkinan timbul kerana memikirkan mereka yang berada di dalam kenderaan adalah satu keluarga dan tinggal di dalam rumah yang sama.

"Jadi, kemungkinanlah idea itu timbul. Tapi buat masa sekarang memang SOP tidak ada mengatakan boleh. Jadi tidak bolehlah," katanya. - Sinar Harian

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain