suria

Kecoh insiden babit 2 LRT, tular gambar penumpang cedera di media sosial

Foto yang tular di media sosial menunjukkan keadaan penumpang dalam LRT. foto Twitter Khadijahfadzli

MEDIA sosial pada malam Isnin digemparkan dengan insiden membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT).

Dilaporkan seramai 47 penumpang cedera parah dan 166 cedera ringan.

Tular gambar-gambar menunjukkan beberapa penumpang cedera, lantai dengan kesan darah serta kerosakan pada gerabak.

Kejadian dilaporkan berlaku di laluan Kelana Jaya.



Keadaan seorang penumpang. foto Twitter dfordella

Pengendali LRT, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) pada Isnin malam mengesahkan insiden berlaku membabitkan dua tren LRT.

"Kami ingin memaklumkan bahawa perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya sedang berhadapan dengan satu insiden yang melibatkan tren bernombor 40 dan 81.

"Pasukan kami sedang menguruskan bantuan dan kerja-kerja menyelamat sekarang. Sila bertenang dan patuhi segala arahan," katanya dalam satu kenyataan.



Kenyataan di Facebook.

Menurut kenyataan itu, Prasarana memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku.

"Kami memohon maaf atas segala kebimbangan dan kerisauan.

"Pihak kami sedang berusaha secepat mungkin untuk memberi bantuan dan mengawal keadaan," tambahnya.



Antara kerosakan pada LRT. foto twitter dfordella

Sementara itu, pengguna Twitter @khadijahfadzli berkata: "Katanya LRT Kelana Jaya bertembung."

Antara lain turut melaporkan beberapa penumpang cedera.

"Memang berlanggar. Tak pasti macam mana, Staf aku patah buku lali. Dia kata banyak penumpang cedera teruk. Allahu," tulis pengguna Twitter @dfordella.

Memetik laporan Astro Awani, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata berdasarkan maklumat awal, kedua-dua tren terbabit tidak bertembung, sebaliknya berhenti secara mengejut.

"Berdasarkan maklumat awal, dua tren berkenaan tidak berlanggar tetapi berhenti secara mengejut.

"Kejadian itu menyebabkan penumpang terjatuh dan mengalami kecederaan," katanya kepada pemberita.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain