suria

“Movie baru nak mula, sekelip mata saya tercampak” - Mangsa kongsi detik cemas LRT bertembung, ibu ‘bergegar jantung’ lihat anak dalam gambar tular

Keadaan penumpang yang terpelanting dalam insiden membabitkan dua tren LRT. foto Twitter

SEKELIP mata! Itulah yang digambarkan oleh seorang mangsa insiden dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang bertembung berhampiran stesen KLCC, Isnin malam.

Berkongsi detik cemas itu, Eizzuan Haiqal Roshaizam Helmy berkata, dia baru saja menaiki tren di stesen KLCC selepas selesai bekerja.

Sewaktu kejadian, pemuda berusia 20 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumah dekat Alam Megah di Shah Alam, Selangor, sambil menambah tren berkenaan berhenti kira-kira lima dan 10 minit sebelum bergerak semula seperti biasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Impak 60km/j! LRT 213 penumpang dan tren rosak dipandu uji bertembung... 47 parah, 166 cedera ringan

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh insiden babit 2 LRT, tular gambar penumpang cedera di media sosial

"Bila tren baru bergerak, saya nak tengok movie menerusi telefon bimbit. Tapi movie baru nak bermula, tiba-tiba bunyi dentuman yang sangat kuat macam bunyi mercun meletup.

"Sekelip mata saya dah tercampak ke depan, jatuh ke lantai. Dengan penumpang yang duduk di sebelah saya pun tak nampak, tak tahu terpelanting ke mana... selepas dah reda baru nampak dia cedera di bahagian muka dan telinga," katanya kepada mStar.



Seorang mangsa menerima rawatan. foto ihsan Kwong Wah Jit Poh

Eizzuan yang menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat dekat KLCC berkata, dia menyaksikan ramai penumpang tercampak dan terpelanting dalam gerabak.

"Ramai yang terpelanting semasa tren brek mengejut begitu kuat. Saya nampak beberapa penumpang lain cedera dan berdarah.

"Semuanya berlaku hanya beberapa saat. Saya tak sangka tren yang saya naik itu terlibat dalam kemalangan," ujarnya yang berasal dari Shah Alam.

Dia yang dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan bagaimanapun bersyukur kerana hanya mengalami cedera ringan.

"Saya terseliuh di bahagian bahu dan kepala terhentak sikit. Tapi tak ada pendarahan. Mujur saya berpakaian tebal, Alhamdulillah.

"Tapi saya bersimpati dengan sebahagian penumpang yang cedera terutama mereka yang parah dan mengalami pendarahan akibat tercampak dan terpelanting. Impaknya sangat kuat," katanya.



Keadaan mangsa yang cedera.

Sementara itu, seorang ibu kepada salah seorang mangsa turut berkongsi luahannya di laman sosial selepas menyedari anak perempuannya di dalam foto mengenai kejadian yang tular.

"Aduhai bergegar jantung berdebar rasa berjurai air mata dengar tren (yang dinaiki) anak berlanggar tadi.

"Anak perempuan saya memakai baju coklat di dalam gambar terakhir. Syukur ada gambar, jadi kami tahu dia dalam keadaan baik. Tapi dia trauma dan tidak stabil," tulis seorang pengguna Twitter, ZzifFizz.



Foto seorang anak (bulatan merah) tular di media sosial.

Dalam kejadian pada Isnin malam, sebuah tren yang rosak dan sedang dipandu uji bertembung dengan sebuah lagi tren yang membawa seramai 213 penumpang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 malam itu, seramai 47 penumpang cedera, manakala 166 penumpang cedera ringan.

"Kejadian berlaku antara antara dua stesen Kampung Baru dan stesen KLCC di laluan yang sama.

"Tren yang dari Gombak dipandu secara automatik mengandungi 213 penumpang manakala tren dari Kampung Baru adalah tren kosong yang mempunyai pemandu," katanya pada sidang media, Isnin malam.

Mohamad Zainal berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan kejadian disifatkan sebagai kemalangan.

"Kita mendapati mungkin berlaku kegagalan komunikasi. Ini adalah kemalangan dan kita masih menyiasat sekiranya ia merupakan kecuaian kerana melibatkan kecederaan awam, termasuk ramai yang cedera parah," katanya.



Anggota bomba menyelamatkan mangsa yang cedera. foto Twitter

Beliau berkata, penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan beberapa hospital lain.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong yang turut meninjau situasi di stesen LRT terlibat memaklumkan Pasukan Tindakan Khas akan ditubuhkan dan siasatan akan dijalankan dalam tempoh dua minggu.

"Esok (Selasa) saya akan meneliti laporan awal kemalangan ini dan akan memaklumkan perkembangan terkini mengenainya.

"Bagaimanapun, keutamaan ketika ini adalah untuk memastikan semua penumpang yang cedera mendapat rawatan supaya dapat segera sembuh," katanya pada sidang media di Stesen LRT Avenue K di ibu negara.

Beliau juga memaklumkan tren yang rosak dipandu uji dengan kadar kelajuan 20km/j manakala tren dengan penumpang pula bergerak pada tahap 40km/j, sekali gus menjadikan impak ketika pelanggaran adalah 60km/j.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain