suria

Tak pakai pelitup muka, polis siasat Tajuddin

Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman disiasat kerana tidak memakai pelitup muka.

SUSULAN didakwa tidak memakai pelitup muka ketika mengadakan sidang media baru-baru ini, Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman kini sedang disiasat polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abidin Abdullah, siasatan dijalankan ke atas video yang tular di media sosial menunjukkan Tajuddin tidak memakai pelitup muka ketika mengadakan sidang media selepas selesai meninjau lokasi insiden kemalangan membabitkan tren di Stesen LRT Kuala Lumpur.

Ujarnya, siasatan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilakukan Tajuddin sudah dimulakan pada hari sama.

"Semua mereka yang terbabit dalam kes itu akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan dalam tempoh terdekat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkutan) 2021, kata Mohamad Zainal.

Semalam, Tajuddin pada sidang media selepas melawat lokasi dua tren LRT bertembung dalam terowong berhampiran KLCC, di sini, dilihat hanya memakai pelindung muka tanpa memakai pelitup muka.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain