suria

Dakwaan langgar SOP, Tajuddin beri keterangan selama sejam

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak memakai pelitup muka ketika mengadakan sidang media susulan insiden pelanggaran tren, Selasa lalu. Foto: Bernama

AHLI Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman disoal siasat oleh polis pada Khamis kerana didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) semasa mengadakan sidang media baru-baru ini.

Bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) itu tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dengan sebuah kereta Mercedes Benz S-Class sekitar pukul 4.45 petang tadi.

Selepas satu jam, kereta yang dinaiki beliau dilihat meninggalkan IPD berkenaan sekitar pukul 5.45 petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak pakai pelitup muka, polis siasat Tajuddin

ARTIKEL BERKAITAN: Pengerusi Prasarana: Khidmat Tajuddin ditamatkan serta-merta

Tajuddin tidak memberikan sebarang kenyataan kepada media yang menunggu sejak tengah hari.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata selain Tajuddin, pihaknya turut merakam keterangan empat lagi individu bagi membantu melengkapkan kertas siasatan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Lima individu telah diambil keterangan hari ini termasuk Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tiga kakitangan Prasarana," katanya.

Syed Saddiq dilihat memasuki IPD berkenaan pada pukul 12.30 tengah hari dan proses mengambil keterangannya berlangsung sekitar satu jam setengah.

"Siasatan tersebut adalah berkaitan dengan satu ciapannya di Twitter yang mengaitkan Tajuddin.

Pada Selasa lalu, Tajuddin yang mengadakan sidang media selepas selesai meninjau lokasi insiden kemalangan membabitkan tren di Stesen LRT Kuala Lumpur, dilihat hanya memakai pelindung muka tanpa topeng muka.

Susulan itu, polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkutan) 2021. - THE STAR

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain