suria

Imigresen buat laporan SPRM susulan video viral ‘Kak Siti’

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud. Foto: Bernama

BARU-BARU ini tular sebuah di media sosial bertajuk 'Kak Siti kena bayar 'pelincir' untuk masuk ke Malaysia'.

Video tersebut memaparkan seorang wanita memberi ucapan berkaitan status keberadaan dan pergerakan keluar masuk negara seorang wanita warga Indonesia yang dikenali sebagai 'Kak Siti'.

Dakwa wanita tersebut, Kak Siti perlu membayar sejumlah wang kepada individu yang didakwa sebagai pegawai imigresen bagi membantu kemasukannya ke negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 25 anggota penguat kuasa Imigresen ditahan SPRM

Sehubungan dengan itu, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata kenyataan dan dakwaan dalam video itu boleh menjejaskan imej dan nama baik Imigresen.

"Dakwanya Kak Siti mempunyai pas kerja yang sah dan telah melahirkan tiga orang anak di Malaysia. Wanita terbabit telah pergi ke Batam, Indonesia bersama-sama Kak Siti dipercayai cuba membantu Kak Siti untuk masuk semula ke Malaysia.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Turut dibangkitkan dalam ucapan itu tentang dakwaan bahawa Kak Siti perlu membayar sejumlah wang kepada individu yang didakwa sebagai pegawai imigresen bagi membantu kemasukannya ke negara ini," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujar Khairul Dzaimee, laporan itu dibuat oleh Timbalan Ketua Pengarah (Kawalan) Imigresen, Datuk Makhzan Mahyuddin pukul 2.30 petang Khamis di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Laporan itu dilakukan supaya satu siasatan yang telus dapat dijalankan, kata beliau.

"Jika terbukti dakwaan di dalam video tersebut adalah benar, maka tindakan yang tegas tanpa kompromi akan diambil jika terdapat pegawai jabatan ini yang melakukan kesalahan.

"Tetapi jika didapati dakwaan di dalam video tersebut tidak benar, tindakan undang-undang yang sewajarnya boleh diambil terhadap wanita yang memberi ucapan di dalam video tersebut," katanya.

Tegasnya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan kakitangan yang menyalahgunakan kuasa bagi tujuan kepentingan peribadi selain tidak akan membiarkan mana-mana pihak sewenang-wenangnya cuba membuat kenyataan atau dakwaan yang tidak benar serta boleh menjejaskan nama baik Imigresen. - SINAR HARIAN

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain