suria

PRU-15 selepas Belanjawan 2022?

Osman berkata, gambaran berkenaan diberikan Muhyiddin ketika mesyuarat Bersatu Johor yang berlangsung secara maya pada 16 Jun lalu.

TIMBUL tanda tanya bilakah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan.

Dilaporkan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi gambaran bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan berlangsung pada akhir tahun ini iaitu selepas Belanjawan 2022 dibentangkan.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Ayer Hitam, Datuk Osman Sapian mendakwa, gambaran berkenaan diberikan Muhyiddin ketika mesyuarat Bersatu Johor yang berlangsung secara maya pada 16 Jun lalu.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, PRU-15 dapat dilaksanakan seandainya Belanjawan 2022 di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri selesai dilakukan.

"Jika Belanjawan 2022 sudah lulus dan diumumkan di peringkat Persekutuan, kena tengok juga negeri-negeri. Kalau belum umum, kena tunggu negeri-negeri dahulu.

"Kemungkinan besar PRU-15 akan diadakan pada akhir tahun ini sama ada November atau Disember. Lagipun tiada yang mustahil kerana ada pilihan raya umum (PRU) sebelum ini dilakukan selepas Belanjawan diumumkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau bagaimanapun berkata, sekiranya musim hujan berlaku di kebanyakan negeri terutama di pantai timur disebabkan monsun timur laut pada ketika itu, tidak mustahil PRU-15 akan ditunda sehingga awal tahun hadapan.

"PRU-15 akan diadakan sekiranya kes baharu Covid-19 mencatatkan penurunan sebagaimana disasarkan kerajaan, selain berjaya membentuk imuniti kelompok 60 hingga 80 peratus penduduk yang telah divaksin di negara ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas itu berkata, menerusi mesyuarat Bersatu Johor yang dipengerusikan Muhyiddin selaku Presiden parti, pelbagai isu lain turut disentuh termasuk bantuan kepada rakyat dan langkah menangani penularan Covid-19.

Selain itu, katanya, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) juga telah diarahkan untuk melakukan persediaan menyediakan bahan-bahan pilihan raya untuk diedarkan ke bahagian-bahagian.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Parti sudah bersedia pada bila-bila masa untuk hadapi PRU. Persediaan itu bermaksud kita memperkukuhkan lagi gerak kerja dan memperbaiki kelemahan.

"Persediaan daripada bilik gerakan sehingga latihan-latihan asas di mana sebahagian ketua- ketua bahagian masih baharu perlu diberikan seminar," katanya. - Sinar Harian

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain