suria

Akad nikah dibenarkan di Selangor mulai 1 Julai, perlu patuhi syarat ditetapkan

Selangor membenarkan majlis akad nikah dilaksanakan mulai 1 Julai. Gambar hiasan

MAJLIS akad nikah dibenarkan untuk dilaksanakan di negeri Selangor mulai 1 Julai depan.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menerusi kenyataan di Facebooknya berkata, majlis tersebut dibenarkan dilaksanakan di pejabat Jais dan Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) sahaja.

Selain itu, kehadiran dihadkan kepada pengantin lelaki, wanita dan wali sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: PKP: Kekang penularan Covid-19, majlis akad nikah dilaksana secara sidang video di Selangor

"Individu lain tidak dibenarkan hadir termasuk jurugambar," demikian menurut perkongsian tersebut pada Jumaat.

Kenyataan Jais juga memaklumkan, hanya bakal pengantin yang telah mendapat tarikh temu janji dibenarkan melangsungkan pernikahan pada hari ditetapkan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Bakal pengantin perlu memastikan telah mendapat kebenaran berkahwin di bawah Seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 sebelum 1 Jun 2021 dan keputusan ujian saringan HIV pasangan masih sah.

"Bakal pengantin juga perlu menjalani ujian saringan Covid-19 dalam tempoh 72 jam atau tiga hari sebelum majlis. Keputusan saringan perlu dikemukakan kepada pendaftar sebelum majlis dilaksanakan," menurutnya.

Tambah kenyataan itu lagi, pihak yang terlibat wajib mematuhi ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan Selangor berkaitan langkah-langkah keselamatan.

"Tindakan tegas boleh diambil jika mereka gagal mematuhi peraturan tersebut," katanya sambil menegaskan bahawa Ketua Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk atau Pegawai Tadbir Agama boleh membatalkan atau menangguhkan majlis perkahwinan jika terdapat pelanggaran peraturan itu. - SINAR HARIAN

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain