suria

Tak kenal erti lelah, penggali kubur sempurnakan jenazah Covid-19 ke destinasi akhir - “Ada ahli keluarga minta tolong rakamkan video...”

Pengendalian jenazah Covid-19 dilakukan mengikut SOP. Gambar hiasan

KETIKA kes kematian akibat Covid-19 makin meningkat, sosok si penggali kubur tidak pernah mengenal erti lelah menyempurnakan jenazah ke tempat istirehat terakhir mereka.

Bagi Mohd Firdaus Shah Abdul Manan yang hampir 10 tahun bergelar seorang penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya, tahun 2021 merupakan tahun yang amat menyentuh perasaan pemuda berusia 39 tahun itu.

Di atas tanah kubur berkeluasan 19 ekar (7.6 hektar) itu, dia menyaksikan sendiri air mata keluarga jenazah mengalir tanpa sedar kerana tidak dapat bersama-sama menunaikan tanggungjawab terakhir menghantar jenazah keluarga sehingga ke liang lahad.

"Saya bermula sebagai pekerja sambilan di Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada tahun 2011 sehingga diserap sebagai pekerja tetap. Pejam celik rupanya sudah hampir 10 tahun saya bekerja sebagai penggali kubur dan saya masih di sini," ujar Mohd Firdaus Shah ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.

Baik malam atau siang, baik cuaca terik mahupun hujan, ia bukan penghalang buat Mohd Firdaus Shah dan enam orang lagi penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 melunaskan tanggungjawab menyediakan liang lahad untuk jenazah dari kawasan sekitar Subang Jaya dan juga jenazah warga asing.

"Sewaktu pandemik ini, adakala saya menggali tiga atau lebih liang lahad sehari untuk jenazah Covid-19 dan juga jenazah biasa. Namun, sekiranya ada jenazah Covid-19 maka kami akan dahulukan," katanya.

Sebagai antara insan yang sering menyaksikan secara dekat saat-saat akhir jenazah sebelum dimasukkan ke dalam liang lahad, Mohd Firdaus Shah mengakui pengebumian jenazah Covid-19 sangat menjentik kesedihan dalam hati kecilnya.

"Memang cukup sedih, selalunya bila ada pengebumian pihak waris akan sama-sama membantu menguruskan jenazah di kubur.

"Namun sejak pandemik Covid-19 bilangan orang yang dibenarkan berada di kubur termasuk untuk menyediakan liang lahad dihadkan atas sebab-sebab keselamatan terutama apabila melibatkan jenazah Covid-19," katanya lagi.

Menyedari realiti Covid-19 yang mampu mengancam nyawa, Mohd Firdaus Shah bapa kepada empat anak itu juga sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka dan sanitasi diri ketika menjalankan rutin harian sebagai penggali kubur.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Pada awalnya, saya juga berasa takut sebab ada anak kecil namun saya akan pastikan untuk membersihkan diri dan mandi di tempat kerja sebelum pulang ke rumah.

"Sebaik tiba di rumah pula saya akan mengasingkan diri daripada anak dan isteri yang pada waktu itu sedang dalam berpantang bagi mengelakkan risiko jangkitan.

"Benda ini (Covid-19) bukan main-main. Pengendalian jenazah Covid-19 juga berbeza berbanding jenazah biasa dengan SOP yang sangat ketat. Ia benda yang agak baru bagi kita jadi langkah berjaga-jaga perlu dipatuhi sepenuhnya," ujarnya lagi.

Mohd Firdaus Shah turut meluahkan rasa sedihnya apabila waris tidak dapat melihat jenazah secara dekat buat kali terakhir.

"Ada yang minta kami tolong rakamkan video dan mengambil gambar kerana tidak dapat bersama-sama uruskan jenazah, jadi kami bantu daripada segi itu. Dengan adanya video itu dapat kurangkan sedikit kesedihan mereka.

"Sebelum ini kita tengok ada waris yang sama-sama menguruskan jenazah, namun kini hanya kami, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan beberapa orang sahaja yang dapat menyelesaikan tugas tersebut," katanya. - SINAR HARIAN

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain