PULAU Pinang menjadi negeri keenam yang beralih ke fasa dua di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN). Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan peralihan fasa PPN bagi negeri tersebut berkuat kuasa pada 7 Julai. Menurutnya lagi, keputusan meletakkan Pulau Pinang dalam fasa dua PPN dibuat dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara pada Isnin. ARTIKEL BERKAITAN: 5 negeri ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara Isnin ini "Setelah meneliti nilai-nilai ambang atau threshold negeri, Sidang Khas MKN bersetuju peralihan negeri Pulau Pinang ke fasa seterusnya iaitu fasa dua. "Peralihan fasa negeri Pulau Pinang berikutan pencapaian nilai ambang tiga indikator utama iaitu purata kes jangkitan harian selama tujuh hari di bawah nilai ambang 12.2 kes per 100,000 iaitu 9.5 kes per 100,000. "Kadar penggunaan katil wad ICU mencapai tahap sederhana (moderate) dan penilaian Capacity to Respond yang berada pada tahap adequate. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] "Kadar vaksinasi lengkap dua dos ke atas populasi dewasa melebihi 10 peratus iaitu pada kadar 10.1 peratus," katanya dalam kenyataan pada Isnin. Jelasnya, keputusan dicapai berdasarkan tiga indikator tersebut serta penilaian terperinci agensi-agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Dalam pada itu, beliau menasihatkan negeri-negeri yang telah beralih ke fasa dua agar terus melindungi komuniti daripada jangkitan Covid-19 dan meningkatkan prestasi negeri masing-masing supaya dapat beralih ke fasa seterusnya. "Ini akan membantu untuk mempercepatkan proses pemulihan sektor-sektor ekonomi dan sosial di negeri-negeri yang berkenaan," katanya lagi. Sebelum ini, kerajaan telah melaksanakan fasa 2 PPN di lima negeri iaitu Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang. Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!