PRIHATIN dengan situasi sukar yang dihadapi rata-rata golongan rakyat lantaran penularan Covid-19, Star Foundation iaitu badan amal Star Media Group baru-baru ini telah melancarkan inisiatif Star Social Impact Grant (SSIG). SSIG adalah inisiatif sosial terbaharu Star Foundation bertujuan memberi sokongan dan galakan kepada masyarakat yang terkesan dengan pandemik di negara ini. Menerusi inisiatif tersebut, ia menyediakan dana yang disasarkan untuk organisasi bukan kerajaan (NGO) dan perusahaan sosial dalam menyokong projek berimpak tinggi yang menambah baik kehidupan masyarakat setempat serta persekitaran. Bertindak balas terhadap situasi sukar yang sedang dilalui ketika ini, tema SSIG pada tahun ini didedikasikan khas untuk projek-projek yang bertujuan untuk menangani cabaran serta meningkatkan kualiti hidup golongan rentan di negara ini. Projek-projek berkenaan dapat dilaksanakan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh pengeluaran geran, manakala saiz bagi setiap geran boleh mencapai dana maksimum sehingga RM50,000 yang mana ia bergantung kepada tahap kerumitan sesuatu projek. NGO dan perusahaan sosial dengan idea projek berimpak yang selaras dengan lima fokus Star Foundation termasuk pembangunan masyarakat; pendidikan; akses kepada keperluan asas dan infrastruktur; perlindungan alam sekitar; dan kesihatan dan kesejahteraan, amat digalakkan untuk memohon inisiaif SSIG ini. "Sejak penubuhannya, Star Foundation sering bekerjasama dengan NGO dalam menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan. "Organisasi sosial seperti NGO dan perusahaan sosial begitu berpengalaman berkaitan keperluan di lapangan dan mempunyai kepakaran untuk mencadangkan dan melaksanakan penyelesaian yang berkesan dalam menangani cabaran masyarakat," kata Pemegang Amanah Star Foundation, Datuk Dr Mohd Aminuddin Mohd Rouse. "Tatkala Star Media Group meraikan ulang tahun ke-50 tahun ini, kami sentiasa mengingati tanggungjawab yang digalas sebagai The People's Paper. "Kami telah menyaksikan bagaimana semua orang tampil ke depan pada saat-saat paling getir untuk membantu mereka yang memerlukan, dan Star Foundation ingin mengambil peranan yang lebih besar dalam pemulihan negara. "Di atas usaha berterusan kami dalam menyokong NGO khususnya dalam perbelanjaan operasi mereka, inisiatif SSIG akan membolehkan Star Foundation bekerjasama dengan organisasi sosial bertujuan untuk menghulurkan sumbangan dan bantuan yang diperlukan kepada masyarakat yang terkesan kerana pandemik," tambahnya. Tambahnya lagi, SSIG adalah langkah terkedepan dalam menyokong program yang berpotensi membawa kesan jangka panjang kepada masyarakat. Pemohon boleh mengemukakan idea projek dan dokumentasi sokongan menerusi bit.ly/starsig bermula 11 Ogos hingga 26 September 2021. Untuk rekod, sejak 2004, Star Foundation telah menyumbang sejumlah RM20.2 juta kepada lebih daripada 350 organisasi. Ia juga telah melaksanakan Program Dana Perubatan sejak 2015 untuk membantu individu kurang berkemapuan yang menderita penyakit kronik, dengan menaja rawatan perubatan secara one-off. Pada tahun 2020, Inisiatif Frontliners pula berjaya mengumpul dan menyumbang keperluan perubatan bernilai RM2.6 juta seperti ventilator, katil ICU, mesin ultrasound dan peralatan pelindung diri (PPE), yang diagihkan ke 34 hospital dan 15 jabatan kesihatan negeri di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut mengenai projek serta insiatif Star Foundation untuk komuniti, lawati starfoundation.com.my Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!