suria

Pegawai menteri mula kemas barang, kosongkan pejabat

Menurut seorang pegawai menteri, beliau sudah mengemas barang-barang sejak kemelut politik melanda negara beberapa minggu lalu. (Gambar Hiasan)

KEMELUT politik tanah air terus menjadi teka-teka dan menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat.

Terbaharu, beberapa pegawai menteri sudah mula mengemaskan barang-barang dan mengosongkan pejabat masing-masing pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kenderaan menteri keluar masuk kediaman PM, apa sedang berlaku?

Difahamkan, ada yang sudah berbuat demikian sejak Umno mengumumkan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut seorang pegawai menteri, beliau sudah mengemas barang-barang sejak kemelut politik melanda negara beberapa minggu lalu.

"Sebelum Umno tarik sokongan lagi saya sudah kemas barang-barang dan hanya tinggal sedikit di pejabat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Sementara itu, seorang lagi pegawai ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp berkata, beliau juga sedang mengemas pejabat, namun enggan mengulas lanjut.

Pada petang Jumaat, Muhyiddin berusaha untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri dengan menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Menurutnya, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bipartisan di Parlimen.

Pada masa sama, ia bagi mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain