suria

Muhyiddin bakal menghadap Agong, dijangka lepaskan jawatan PM

Berita mengenai keputusan Muhyiddin untuk mengundurkan diri mula tersebar. Foto: BERNAMA.

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Isnin.

Pada masa ini, semua petunjuk yang ada seolah-olah membawa kepada satu pilihan iaitu untuk beliau melepaskan jawatannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pegawai menteri mula kemas barang, kosongkan pejabat

ARTIKEL BERKAITAN: Ketua Pembangkang dapat saraan, kemudahan setara menteri kanan! Ini 7 cadangan persefahaman rentas parti jika usul undi percaya diluluskan

Sumber utama Kabinet berkata, perdana menteri telah menyatakan hasrat beliau kepada pemimpin dan pegawai kerajaan Perikatan Nasional dalam pertemuan pada Ahad.

Seorang menteri kanan Kabinet berkata pengumuman rasmi akan dibuat setelah tamat sesi menghadap dengan Seri Paduka di Istana Negara.

Ujarnya, Muhyiddin tetap bertegas dalam pendiriannya untuk berhenti setelah beliau tidak lagi mendapat sokongan majoriti anggota Parlimen.

Kedudukannya juga tidak dapat dipertahankan ekoran penolakan segera tawarannya sebelum ini oleh Pembangkang.

Antara yang dijanjikan termasuklah dana yang sama untuk semua anggota Parlimen, had dua penggal sebagai perdana menteri, undang-undang anti lompat parti dan pelaksanaan Undi 18.

Ketika berita mengenai keputusan Muhyiddin untuk mengundurkan diri mula tersebar, para pemimpin Perikatan dan Barisan Nasional berkumpul dalam pertemuan hingga larut malam.

Malah, ramai dalam kalangan mereka tidak menjawab panggilan atau ada yang secara ringkas berkata mereka sedang mengikuti mesyuarat.

Difahamkan, perbincangan mengenai siapa yang boleh menggantikan Muhyiddin termasuk kemungkinan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil alih, namun ia bergantung sama ada Umno dan Bersatu dapat membuat persefahaman bersama.

Sementara itu, The Star melaporkan, sumber Bersatu memaklumkan Muhyiddin dalam mesyuarat parti berkenaan memaklumkan akan meletak jawatan jika tidak memperoleh sokongan majoriti dan sebaliknya akan meneruskan tugasnya sebagai perdana menteri jika masih mendapat sokongan.

"Beliau akan persembahkan surat peletakan jawatan kepada Agong esok dan dengan itu calon yang mendapat sokongan di Dewan Rakyat akan dipilih bagi mengisi jawatan itu.

"Sehubungan itu, Muhyiddin meminta supaya lebih ramai menberi sokongan kepadanya jika mahu beliau terus kekal sebagai perdana menteri," kata sumber itu. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain