suria

Apa nak jadi? Remaja lelaki umur 15 tahun ditemui bersama 111 biji pil kuda

Pemeriksaan lanjut telah menjumpai sebanyak 111 biji pil kuda dan kesemua barangan rampasan termasuk suspek dibawa balik ke IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

TATKALA rakan seusianya sibuk menimba ilmu, remaja berusia 15 tahun ini dicekup polis kerana bahan terlarang.

Dalam satu serbuan di Kampung Lati, Lemal, Pasir Mas, dia antara tiga individu yang dicekup bersama 111 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM1,100

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, serbuan pada jam 9.30 pagi itu melibatkan tangkapan tiga lelaki berusia 23 hingga 15 tahun itu berkait dengan laporan sebelum ini.

"Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) membuat serbuan di lokasi.

"Semasa tiba di lokasi, kita mendapati pintu hadapan rumah tersebut berada dalam keadaan terbuka. Anggota polis kemudian telah masuk ke dalam rumah untuk membuat pemeriksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, semasa pemeriksaan dilakukan polis mendapati tiga individu berada di dalam rumah berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan kemudian dilakukan ke atas sebuah bilik sambil disaksikan kesemua suspek yang membawa kepada penemuan satu kotak rokok.

Katanya, pemeriksaan lanjut telah menjumpai sebanyak 111 biji pil kuda dan kesemua barangan rampasan termasuk suspek dibawa balik ke IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

"Saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah, namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau. - Sinar Harian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain