suria

Semua MP diarah calonkan PM ke-9, serah surat akuan kepada Istana Negara sebelum 4 petang esok

Semua anggota Dewan Rakyat perlu membuat akuan kepada Istana Negara dan mencadangkan nama calon untuk memegang jawatan PM.

SELEPAS Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri pada Isnin, teka-teki mengenai calon seterusnya untuk memegang jawatan itu terus hangat diperkatakan.

Terbaharu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan semua anggota Dewan Rakyat untuk membuat akuan kepada Istana Negara dan mencadangkan nama calon untuk memegang jawatan sebagai perdana menteri kesembilan.

ARTIKEL BERKAITAN: Peletakan jawatan diperkenan, Muhyiddin kini jalankan tugas sebagai caretaker PM

"Pada melaksanakan titah perintah Kebawa Duli Yang Maha Mulia Seri Padukan Baginda Yang di-Pertuan Agong, saya dengan ini memberi notis kepada Yang Berhormat supaya menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Yang Berhormat untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan," ujarnya menerusi notis berkenaan yang diedarkan pada Selasa.

Tambah beliau, surat akuan itu perlu diserahkan kepada Istana Negara selewat-lewatnya pada Rabu sebelum pukul 4 petang.

Dalam notis sama, beliau berkara serahan tangan tidak dibenarkan memandangkan Istana Negara masih berada dalam Fasa 1.

Pada Isnin, Muhyiddin melepaskan jawatannya sebelum Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan supaya beliau menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri sehingga perdana menteri baharu dilantik.

Pada hemat Seri Paduka Baginda, pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 bukan satu pilihan terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat, ujar kenyataan Istana Negara pada Isnin.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain