suria

Hakim meradang Najib tak hadir perbicaraan kes 1MDB

Najib (gambar fail) tidak hadir ke perbicaraan kes 1MDB. foto LOW BOON TAT/The Star

HAKIM Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah menegur Datuk Seri Najib Razak kerana tidak hadir ke perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada Khamis pagi.

Peguam Najib, Rahmat Hazlan memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya yang juga Ahli Parlimen Pekan bersama 113 MP lain telah dititah ke Istana Negara bagi mengesahkan sokongan kepada Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri baharu.

Najib merupakan antara yang menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis.

"Agong mahu menemui setiap MP terlibat dan anak guam saya dijadual bergerak dari Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL) pada 10.30 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN: 114 ahli Parlimen sokong Ismail Sabri dipanggil menghadap Agong

"Saya percaya anak guam saya ada di WTCKL bersama MP Barisan Nasional lain untuk berbincang," kata Rahmat sejurus perbicaraan bermula.

Penjelasaannya bagaimanapun menimbulkan kemarahan hakim berkenaan yang bertanggapan Najib seharusnya menghadiri prosiding berkenaan dahulu sebelum ke Istana Negara.

Hakim berkenaan berkata, perbicaraan itu perlu diteruskan dan meminta pihak pembelaan untuk memaklumkan tempoh Najib berada di Istana Negara.

"Agong menitah MP menghadap dan sudah tentu dia perlu ke sana dan daripada laporan akhbar yang saya baca, pertemuan itu diadakan secara berperingkat,.

"Lebih baik anak guam kamu beritahu pukul berapa dia dititahkan ke sana, kerana kes ini akan diteruskan.

"Saya nak tahu pukul berapa slot dia menghadap Agong," kata Hakim Sequerah.

Mahkamah kemudian berhenti rehat selama 10 minit.

Sebaik kes bersambung, Rahmat memaklumkan hakim berkenaan bahawa pasukannya tidak dapat memberikan tempoh masa tepat mengenai giliran Najib menghadap Agong dan akan memaklumkan mahkamah sebaik mendapat maklumat berhubung perkara itu.

Hakim berkenaan bagaimanapun tetap memutuskan untuk meneruskan perbicaraan itu.

"Saya berhasrat untuk meneruskan kes ini walau apa cara sekali pun. Kita telah membazir banyak masa," katanya.

Malahan, beliau berkata, Najib seharusnya datang ke mahkamah sebaik selesai menyampaikan pandangannya berhubung pelantikan perdana menteri baharu kepada Agong.

Mahkamah kemudiannya menetapkan kes berkenaan akan bersambung pada 2.30 petang ini.

Pada Rabu, dilaporkan mahkamah membenarkan permohonan Najib untuk menghadiri mesyuarat penting berhubung pemilihan kepimpinan negara.

Najib, 68, berdepan 25 pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain