suria

[VIDEO] Bila agaknya nasib nelayan akan berubah? Tak hirau terdedah risiko ditahan, dirompak... malangnya kerap pulang 'tangan kosong'

Ditahan, dirompak, malah kapal mereka rampas - ini antara risiko yang terpaksa dihadapi sesetengah nelayan pesisir pantai demi mencari rezeki.

DITAHAN, dirompak, malah kapal mereka rampas - ini antara risiko yang terpaksa dihadapi sesetengah nelayan pesisir pantai demi mencari rezeki.

Kekurangan ikan khususnya di kawasan pesisir pantai menyebabkan mereka kini terpaksa keluar semakin jauh ke tengah laut, atau hampir 40 kilometer demi untuk memastikan mereka tidak pulang dengan tangan kosong.

Aktiviti tangkapan ikan secara berlebihan, penggunaan peralatan yang merosakkan dasar laut serta batu karang serta lambakan nelayan asing dikatakan antara faktor utama stok ikan negara berkurangan.

Malah, nelayan turut berkongsi mengenai kepupusan sesetengah spesies ikan di satu-satu kawasan.

Kajian oleh Jabatan Perikanan Malaysia pada tahun 2016 mendapati hanya tinggal 4.4 peratus biomass ikan di perairan Semenanjung Malaysia, dan ianya dijangka hanya mampu bertahan sekitar 30 tahun lagi.

BALIK TANGAN KOSONG

Rosilawati Ismail, 44, dari Kampung Kempadang, Kuantan berkata kadangkala dia terpaksa pulang hampa setelah menghabiskan masa berjam-jam lamanya di laut.

"Kami keluarkan RM120 (untuk minyak) untuk pergi ke laut tapi bila balik hasil yang kita dapat cuma dalam RM45 sahaja, nak bayar minyak pun tak lepas," katanya hampa.

Menurutnya lagi dia kini terpaksa keluar lebih jauh untuk menangkap ikan.

TONTON VIDEO KISAH NELAYAN!

“Dulu kita pergi kawasan lebih kurang 18km je dah boleh dapat ikan kembong, kerisi, selar, sekarang memang tak ada pilihan, kita terpaksa pergi lebih jauh sampai dekat 40 kilometer untuk dapat ikan,” katanya.

Dia yang sudah 14 tahun berkecimpung dalam bidang ini berkata nelayan pada masa kini lebih kerap ‘pulang dengan tangan kosong berbanding dulu.

“Dulu kalau keluar ke laut sekurang-kurangnya ada la.. jarang kita tak dapat balik modal, tapi sekarang kadang-kadang dalam sebulan tu, lebih 10 kali,”katanya.

Turut berkongsi kisah yang sama adalah Ibrahim Ismail, 55 yang juga tinggal di perkampung sama.

“Semalam balik dapat dua ekor je senangin, duit minyak pun tak lepas.

“Sebelum ni saya boleh dapat RM700 ke RM800 dengan tangkap ikan senangin, sekarang nak cari 10 ekor pun susah,” getusnya.

ibrahim

Ibrahim boleh dapat RM700 ke RM800 sekali keluar kelaut dahulu.

Sementara itu berkongsi slip bayaran yang diterimanya dengan wartawan R.AGE, Mohd Zuhir Lamsah, 49 yang ditemui di Pontian, Johor berkata hasil yang diterimanya ada kalanya sekadar pulang modal.

Zuhir-receipt

Slip bayaran penjualan ikan yang diterima Zuhir.

“Ini apa yang saya dapat daripada semalam, saya dapat RM108, kalau katakan tolak RM50 untuk minyak lagi RM50 atau RM60 untuk umpan, maksudnya memang tak ada apa-apa yang tinggal,” katanya.

Zuhir-DSC05570 copy

Zuhir juga mengakui terpaksa masuk ke sempadan Indonesia untuk mencari ikan.

Seorang lagi nelayan dari Pontian, Abd Aziz Rahmat, 52 berkata nelayan kini membawa pulang kurang 10 peratus daripada apa yang mereka dapat beberapa tahun dahulu.

“Dulu kita boleh dapat RM3,000 ke RM4,000 sebulan, tapi sekarang nak dapat RM300 pun susah.

“Dia ni sebelum ni (merujuk kepada sahabatnya Jamaluddin Mohamad Bualik) dua hari pegi tangkap ikan tak dapat apa, hari ketiga baru ada rezeki,” katanya.



Abd Aziz mendakwa pendapatan mereka kini hanya 10 peratus berbanding dulu.

LAMBAKAN NELAYAN ASING

Menurut Rosilawati penurunan stok ikan di perairan tersebut mula ketara sejak kemasukan nelayan asing khususnya daripada Vietnam yang menggunakan pukat gading.

Pukat yang diharamkan ini dikatakan berupaya untuk “menyapu” bersih segala apa yang berada di laluannya, termasuk anak ikan, atau ikan baja, dan terumbu karang.

“Mereka guna dua kapal lepas untuk tarik satu jaring, jadi bila dia jalan habis semua dia sapu batu karang semua.

“Bila dah tak ada batu karang apa yang nak tinggal, dasar laut tu jadi macam padang pasir, siapa nak duduk dekat padang pasir?” katanya.

20210417_114153 (1)

Rosilawati menjual sendiri ikan-ikan hasil tangkapan mereka di Pasar Kempadang, Kuantan.

Menurut Rosilawati dia pernah kerugian lebih RM2,000 apabila pukat miliknya dilanggar nelayan asing.

TERPAKSA MASUK KE PERAIRAN INDONESIA

Bagi nelayan di Pontian pula, kekurangan ikan di kawasan pesisiran pantai negara memaksa mereka yang terdesak untuk menyara keluarga ini masuk ke perairan Indonesia.

“Dia umpama kita letak satu kaki kita di penjara Indonesia,” itulah bidalan yang digunakan Jamaluddin untuk menggambarkan tindakan mereka yang terpaksa mengambil risiko ditahan pihak berkuasa Indonesia demi mencari rezeki.

“Kalau 10 hari ke laut, dalam lapan hari mungkin di perairan Indonesia, baki dua hari di Malaysia.. dah terpaksa,” jelasnya lagi.

Jamal-DSC05459 copy

Jamal mengakui terpaksa masuk ke sempadan Indonesia bagi mencari ikan untuk memastikan dirinya tidak pulang tangan kosong.

Mengakui pernah ditahan beberapa kali, Abd Aziz berkata walaupun risau akan keselamatan dirinya, dia tetap terpaksa merantau jauh ke perairan Indonesia demi untuk mencari ikan.

“Saya tawakal je pada Allah.

“Saya pernah kena tahan beberapa kali tapi Alhamdulillah mereka tak agresif, selalunya mereka halau je saya keluar,” katanya.

“Saya memang tak ada pilihan lain selain dari masuk ke perairan Indonesia, ini sahaja cara untuk saya survive sebab saya tengok batu karang dekat sana sekurang-kurangnya masih terjaga jadi ikan masih ada,” tambah Mohd Zuhir.

DIGANGGU PIHAK BERKUASA INDONESIA

Namun, ada antara mereka yang mendakwa diganggu pihak berkuasa Indonesia walaupun dikala mereka menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia.

Antara punca semua ini berlaku adalah disebabkan pertikaian kawasan sempadan di antara Malaysia dan Indonesia di beberapa tempat di Selat Melaka.

“Kadang tu susah nak cakap sebab sempadan Malaysia dengan Indonesia dekat sini kecik je, jadi kadang-kadang bila kita tangkap ikan, jaring kita termasuk ke kawasan mereka.

“Tapi ada sekali ni saya ditahan pihak berkuasa Indonesia, mereka tarik saya sampai ke sebelah sana, kemudian mereka tanya saya, kamu tahu kamu di mana?

“Saya jawab Malaysia, dia cakap ini Indonesia, kemudian dia tunjuk alat GPS pada saya, saya kata pada dia, masa dia tahan saya, saya dekat perairan Malaysia,” dakwanya, sambil menambah dia bagaimanapun dibebaskan selepas disoal siasat.

Rakannya, Zaini Ali, 40 pula mendakwa dia juga pernah ditahan pihak berkuasa Indonesia yang kemudiannya mengambil lebih kurang 15 kilogram ikan miliknya.

“Masa tu rasanya saya berada antara perairan antarabangsa atau Malaysia, saya tak berapa pasti, tapi saya rasa saya tak masuk lagi ke sempadan mereka.

“Bila mereka tahan tu, ambil ikan ada dalam 15kg juga, lebih kurang RM600,” katanya.

Zaini copy

Zaini mendakwa 15kg ikannya dirampas pihak berkuasa.

Pihak berkuasa Malaysia mengesahkan bahawa mereka turut menerima laporan mengenai kes-kes nelayan Malaysia ditahan serta dibawa masuk ke sempadan Indonesia.

Malah, R.AGE dimaklumkan mengenai satu lagi insiden dimana sebuah bot nelayan Malaysia yang sedang menangkap ikan di Pulau Pisang diarahkan untuk menarik balik jaring mereka.

Pihak Konsulat Indonesia di Johor ketika dihubungi berkata mereka tidak maklum mengenai kes-kes ini, malah menurut mereka, pihak berkuasa Indonesia akan sentiasa menghubungi rakan penguasa di Malaysia untuk memaklumkan sekiranya terdapat sebarang tangkapan.

*Laporan ini dihasilkan Pasukan Kewartawanan Penyiasatan, R.AGE untuk projek Ocean Inc, iaitu satu projek penyiasatan rentas sempadan oleh Environmental Reporting Collective, yang melihat kepada isu penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal (IUU). Untuk laporan penuh layari www.oceansinc.earth.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain