suria

Salam takziah... Ahmad Sarji meninggal dunia

Ahmad Sarji meninggal dunia pada awal pagi Sabtu.

BEKAS Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, 82, meninggal dunia, awal pagi Sabtu.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menerusi positng di Facebook beliau, pagi Sabtu.

"Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham YABhg (Yang Amat Berbahagia) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid di atas pemergian Allahyarham yang telah meninggal dunia pada 28 Ogos 2021, jam 1.40 pagi.

"Allahyarham merupakan mantan Ketua Setiausaha Negara dari tahun 1990 hingga 1996 dan seorang tokoh pentadbir Perkhidmatan Awam yang amat disegani serta dihormati sewaktu dalam perkhidmatan," katanya.

Mohd Zuki berkata, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat negara melalui jasa dan bakti yang telah dicurahkan selama ini.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah.," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Ahmad Sarji dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cheras akibat komplikasi Covid-19.

Beliau pernah menjadi KSN dari tahun 1990 hingga 1996 ketika pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahmad Sarji juga pernah dilantik Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), selain diberi kepercayaan menerajui beberapa pertubuhan lain iaitu Presiden Pertubuhan Komanwel bagi Pengurusan dan Pentadbiran Awam (Capam), Presiden Persekutuan Lawn Bowl Malaysia serta Pengerusi Golf Profesional Malaysia.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain