TANGGAL 31 Ogos 2021 menandakan sambutan Hari Kemerdekaan kedua buat rakyat negara ini dalam suasana pandemik Covid-19. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap tahun ini menjadi tahun terakhir kita meraikan Hari Kemerdekaan dalam suasana peperangan melawan pandemik Covid-19. Beliau mengajak seluruh rakyat berjanji sempena tarikh keramat 31 Ogos untuk bersama-sama memulihkan negara dan terus berjuang dalam peperangan melawan pandemik Covid-19 yang diyakini akan berakhir dengan kemenangan. "Pada sambutan ke-64 kemerdekaan tanah air kita ini, marilah kita membulat tekad untuk memulihkan negara. Cabaran yang sedang kita hadapi hari ini belum pernah ditempuhi sebarang pemimpin dan kerajaan sebelum ini. “Kini kita berdepan dengan beberapa cabaran serentak iaitu wabak penyakit dan kegawatan ekonomi yang menggugat kestabilan politik negara serta di seluruh dunia," ujarnya dalam Perutusan Hari Kebangsaan Ke-64 yang bersiaran secara langsung pada Isnin malam. Bagi tujuan tersebut, rakyat perlu mewarisi semangat kebersamaan ditunjukkan oleh tokoh-tokoh negara yang berjasa dalam pembentukan Malaysia satu ketika dahulu. Antara tokoh itu, Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr Ismail Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun H S Lee dan Tun V T Sambanthan. -SINAR Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI