suria

Ayob Khan kongsi pahit getir polis bertugas ketika pandemik, tegas saman orang tapi tetap ada hati dan perasaan - “Sedih tengok ada yang curi makanan”

JIKA dibandingkan dengan perhatian yang diberikan kepada petugas kesihatan, pengorbanan anggota polis sewaktu negara berdepan dengan krisis Covid-19 mungkin sedikit kurang diperkatakan.

Apa yang sering kita dengar adalah kisah-kisah 'tidak berperikemanusiaan' mereka menyaman individu yang pada hakikatnya melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Mereka juga dihina kerana dikatakan menyekat laluan orang ramai, dan lebih teruk lagi ada yang dilanggar sewaktu bertugas di sekatan jalan raya (SJR).

ARTIKEL BERKAITAN : Hayati makna kemerdekaan yang hakiki agar kita menjadi rakyat dan mukmin sejati!

ARTIKEL BERKAITAN : Jom cuba! Pakar pemakanan ini kongsi 3 resepi sarapan kegemaran rakyat Malaysia yang lebih sihat

Namun di sebalik semua yang berlaku ini, mereka tetap berdiri teguh tidak kira hujan atau panas demi menjalankan tugas dan amanah menjaga keselamatan serta kesejahteraan masyarakat bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Berkongsi pengalaman serta cabaran yang dihadapi polis dalam mendepani pandemik Covid-19 ini, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata masyarakat perlu sedar bahawa virus ini merupakan satu ancaman baharu yang tidak pernah dihadapi dan ia menghantui masyarakat seluruh dunia.

“Apabila berlakunya Covid-19 tahun lepas dan kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan PKP saya secara peribadi tak dapat nak gambarkan macam mana kita nak buat sekatan (lockdown), kali terakhir kita buat sekatan masa darurat dulu, zaman tu berbeza dan saya tak pernah hidup di zaman tersebut.

“Jadi tak dapat saya bayangkan macam mana kita nak kawal orang dari merentas daerah, mampukah kita mengawal kenderaan yang banyak, sudah tentu akan berlaku kesesakan, dan berbagai lagi isu lain yang terlintas di fikiran kami,” katanya.

Polis jadi 'punching bag'

Polis diletakkan sebagai agensi utama (lead agency) yang mengepalai aktiviti penguatkuasaan termasuk mengawal pergerakan melalui SJR dan memastikan pematuhan SOP.

Menjadi pihak yang menegakkan undang-undang bukanlah sesuatu yang mudah, mereka dianggap kejam, dan lebih malang lagi, mereka menjadi tempat orang ramai melepaskan geram.

“Bila kita terlalu lembut, kes meningkat orang mengadu, kita terlalu keras pun orang mengadu, jadi polis ini menjadi 'punching bag', orang akan sentiasa cari alasan dan yang jadi mangsa adalah polis sendiri,” luah Ayob Khan.



Anggota polis berhadapan pelbagai cabaran getir dalam menjalankan tugas mereka sewaktu pandemik Covid-19.

Bekerja dalam keadaan tertekan

Apa yang sesetengah masyarakat tidak sedar adalah sama seperti barisan hadapan yang lain, polis juga bekerja dalam keadaan yang amat tertekan.

WhatsApp Image 2021-08-06 at 12.20.24 PM

Anggota polis yang bertugas di SJR menjadi mangsa orang awam melampiaskan kemarahan.

Menurut Ayob Khan, tugasan yang diwujudkan sewaktu tempoh PKP ini, seperti rondaan dan mengawal di SJR, sebenarnya merupakan tambahan kepada tugas hakiki pegawai polis.

“Tamat lapan jam bertugas di SJR tak bererti mereka boleh balik dan berehat, mereka masih perlu menjalankan tugasan hakiki sebab mereka ini terdiri daripada pegawai penyiasat, pegawai pentadbiran atau mungkin pegawai narkotik.

“Tugasan mengawal sepanjang tempoh Covid-19 ini adalah tambahan kepada tugasan hakiki kami yang tak boleh nak ditinggalkan, dan sebab ini jugalah pegawai dan anggota polis yang terlibat bekerja dalam keadaan amat tertekan,” kongsi Ayob Khan lagi.

Dicederakan orang awam

Tambahnya, apa yang lebih mengecewakan adalah sikap masyarakat yang sanggup mencederakan anggota polis bertugas.

“Ada individu yang apabila ditahan mereka tidak berhenti, ada yang langgar terus pegawai saya.

“Di Mersing sebelum ni seorang anggota cuba tahan motor tapi pemandu langgar dia sehingga menyebabkan kecederaan di kaki dan ada juga suspek yang naik kenderaan cuba untuk langgar anggota kita, nasib baik dia hanya cedera ringan,” katanya, sambil menambah suspek bagaimanapun diberkas serta telah diambil tindakan.

WhatsApp Image 2021-08-06 at 12.20.25 PM

Ada pihak sanggup mencederakan anggota polis kerana tidak dibenarkan melepasi SJR.

Mengakui terkejut dengan tindakan agresif tersebut, Ayob Khan merayu kepada masyarakat supaya memberi kerjasama dan turut berganding bahu demi memastikan usaha mengekang penyebaran virus Covid-19 ini membuahkan hasil.

“Ada antara mereka ini (yang melanggar SJR) tertekan, mereka nak pergi ke satu-satu tempat tapi kami tak lepas, ada juga yang mabuk.

“Saya sebenarnya tak sangka mereka sanggup sampai mencederakan anggota polis, marah pun ya sebab mereka ini tidak menghormati kami

“Susah sangat ke nak berhenti? Kami pastikan SJR sentiasa boleh dilihat dari jauh, dan masyarakat juga perlu faham, setiap tindakan yang diambil polis adalah berlandaskan peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan,” katanya.

Anggota terdedah virus, keluar jadi mangsa

Saban hari berkorban di lapangan, tanpa sedar anggota serta pegawai ini kadangkala 'terbawa' pulang bersama virus yang akhirnya meragut nyawa insan tersayang.

“Kadang-kadang bila ada tangkapan, katakan tentera tangkap Pati (pendatang asing tanpa izin) kemudian serah pada kita, swab test akan lakukan, tapi sementara nak dapat keputusan kitalah yang akan gari dan uruskan.

“Lepas beberapa jam tengok-tengok positif, jadi semua yang terlibat perlu dikuarantin.

“Tapi ada juga yang swab test tak dapat kesan jadi bila mereka balik, virus ni tersebar kepada keluarga, jadi ini yang saya kata tadi, kita bekerja tapi yang jadi mangsa ahli keluarga,” katanya, kesal.

Jelasnya, sehingga kini empat orang ahli keluarga telah terkorban setelah dijangkiti virus yang dibawa pulang pegawai atau anggota polis.

Tambahnya, dia sendiri terpaksa melakukan lebih 20 kali swab test setelah menjadi kontak rapat pesakit Covid-19 sewaktu menjalankan tugas.

Bagi memastikan keselamatan ahli keluarga anggota polis, Ayob Khan berkata dia telah memohon supaya vaksin bagi mereka dapat disegerakan, serta perkara tersebut telah pun diambil tindakan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu.

Mengawal keadaan termasuk cubaan timbulkan kekacauan

Selain SJR, dan pematuhan SOP, polis turut bekerjasama dengan anggota penguatkuasaan yang lain untuk memastikan sempadan negara tidak ditembusi bukan sahaja penyeludup bahkan Pati yang mungkin membawa bersama virus berbahaya ini.

Menurut Ayob Khan, Op Pintas Bersepadu Selatan yang menggabungkan beberapa agensi penguatkuasaan berjaya mengawal pencerobohan, malah menjadi perintis kepada Op Benteng yang dilancarkan untuk memerangi kemasukan Pati di seluruh negara.

106923963_280653643353577_1513673050738446977_n

Selain SJR dan operasi pemantauan, pihak polis juga perlu mengawal kemasukan PATI bagi mengekang penularan virus ini.

Selain itu, pihak polis juga terlibat mengawal keadaan bagi memastikan usaha pihak tidak bertanggungjawab yang ingin mengambil kesempatan atas isu Covid-19 untuk menimbulkan kekacauan, tidak berhasil.

“Memang ada yang nak buat perhimpunan bantahan, demonstrasi, tapi dalam keadaan sekarang mana boleh berhimpun itu melanggar peraturan pencegahan dan kawalan penyakit di bawah seksyen 18 (1), jadi kita tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan kepada mereka yang berdegil,” katanya.

Dia sebaliknya menyarankan pihak terbabit untuk menggunakan media sosial bagi menyuarakan pandangan mereka namun dengan penuh berhemah.

Memang sedih bila tengok ada yang curi makanan bukan mahal pun, kadang-kadang roti, bahan untuk masak macam bawang dan sebagainya..

DATUK AYOB KHAN MYDIN PITCHAY

Ketua Polis Johor

Bantu mereka yang terkesan akibat pandemik

Pandemik Covid-19 memberi kesan yang berbeza kepada setiap individu, ini termasuk 'memaksa' seseorang itu untuk melanggar undang-undang.

Berkongsi kisah menyayat hati, Ayob Khan berkata hati siapa yang tidak tersentuh apabila melihat seorang ibu sanggup mencuri demi memastikan anak-anaknya mempunyai sedikit makanan, juga susu untuk diminum.

“Memang sedih bila tengok ada yang curi makanan bukan mahal pun, kadang-kadang roti, bahan untuk masak macam bawang dan sebagainya, jadi kalau kes-kes yang macam ni memang kita akan nasihatkan untuk diselesaikan dengan cara baik.

“Ada juga kes-kes yang mana pegawai saya akan bayar balik dekat supermarket, lepas tu bila bawa balik ke balai kita bagi duit sumbangan sedikit sementara tunggu bantuan daripada pihak lain,” katanya.

209498489_4700088436685300_3126394299521234144_n

Ayob Khan mengambil kesempatan melawat orang tua bagi menceriakan hari mereka.

Menurut Ayob Khan selain membantu masyarakat awam yang terkesan, dia turut menziarahi pesara serta pasangan kepada anggota polis yang telah meninggal dunia.

“Saya suka melawat orang-orang tua, mereka ini akan rasa berbesar hati sebab ada orang prihatin tentang mereka.

“Ada seorang bekas pesara kita dia ada kanser, isteri pun ada kanser anaknya kurang upaya. Beberapa bulan selepas saya melawat, dia meninggal.

“Jadi itulah, kita tak tahu kali ini kita dapat jumpa seseorang tu, lima bulan akan datang tengok dia dah tak ada, sebab tu kalau ada peluang saya memang nak ziarah semua,” katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain