suria

Sesi persekolahan 2021 dilanjutkan, murid akan ‘naik kelas’ pada Mac 2022

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

DIKEMASKINI

SESI persekolahan untuk tahun 2021 dilanjutkan sehingga Mac 2022, demikian menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Menerusi sidang media pada Ahad, beliau berkata pelajar akan kekal dalam tahun persekolahan masing-masing pada bulan Januari dan Februari 2022.

Ini bermakna, murid Tahun Satu 2022 akan mula masuk ke sekolah pada Mac 2022.

ARTIKEL BERKAITAN: Sekolah tetap dibuka 3 Oktober tanpa libatkan negeri Fasa 1, guru enggan divaksin tak dibenarkan mengajar secara bersemuka

"Pelajar akan naik ke kelas berikutnya pada Mac 2022.

"Untuk murid-murid yang mempunyai tahap penguasaan yang masih lemah, maka fokus pada waktu itu adalah melaksanakan program intervensi bagi membolehkan mereka menguasai tahap minimum sebelum naik ke kelas berikutnya.

"Untuk murid-murid yang cemerlang, tempoh ini akan digunakan untuk mengukuhkan lagi kefahaman mereka bagi membantu mereka naik ke tahun berikutnya dalam suasana mereka dapat kuasai topik-topik yang sepatutnya telah dikuasai.

"Ini satu anjakan baru dalam konteks kami di KPM menangani masalah atau keadaan di mana sebahagian daripada murid-murid kita tak dapat mengikuti PdPR dengan baik," katanya.

Menyentuh berkaitan pengoperasian, Dr Radzi berkata pembukaan semula sesi persekolahan dilakukan secara berperingkat mengikut Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 3 Oktober.

Menurutnya, kapasiti kehadiran murid ke sekolah ditetapkan 50 peratus daripada enrolmen keseluruhan secara penggiliran minggu.

Ujarnya, kapasiti kehadiran murid setiap minggu ditetapkan pada kadar 50 peratus daripada jumlah keseluruhan bagi mengurangkan jumlah dalam kelas dan risiko penularan Covid-19 manakala 50 peratus lagi akan membuat Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Langkah itu juga bagi memudahkan pengawalan murid dan guru dalam mematuhi prosedur operasi standar (SOP) ditetapkan.

"Setiap kelas persekolahan akan dibahagi kepada dua kumpulan iaitu secara pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka dan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang bergilir setiap minggu.

"Murid berkeperluan khas, asrama penuh, peperiksaan antarabangsa, sekolah kurang murid antara tidak terlibat penggiliran kelas," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, sekolah di negeri Fasa 1 PPN tidak dibuka dan murid akan meneruskan PdPR. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain