suria

‘Travel bubble’ ke Langkawi: Individu dari luar Kedah guna pengangkutan darat perlu surat polis - Khairy

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan individu dari negeri lain yang berhasrat untuk melancong ke Langkawi dan menggunakan pengangkutan darat perlu mendapatkan surat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melalui sekatan jalan raya (SJR).

"Bagi program perintis pelancongan 'travel bubble' Langkawi, hanya pelancong yang menggunakan pengangkutan darat dari luar negeri sahaja diperlukan mendapat surat dari PDRM bagi tujuan rentas negeri dan SJR.

"Pelancong yang menggunakan pesawat udara tidak perlu surat polis," jelasnya di Twitter pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah ada rancangan nak ke Langkawi? KKM ada nasihat dan peringatan

Ciapan Khairy turut mendapat respon daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang mengharapkan agar penjelasan berkenaan dapat menjawab kekeliruan orang ramai mengenai keperluan kebenaran daripada pihak polis.

"Diharapkan penjelasan ini akan merungkaikan kekeliruan mengenai keperluan permit polis untuk ke Pulau Langkawi.

"Penerbangan ke Langkawi tidak perlu permit polis," tulis Dr Noor Hisham menerusi satu ciapan.

Dr Noor Hisham terdahulu menerusi satu hantaran di Facebook menyarankan agar semua bakal pengunjung ke Pulau Langkawi di bawah projek rintis gelembung pelancongan domestik agar sentiasa mengamalkan norma baharu dan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ujarnya, semua pihak perlu bersama-sama memainkan peranan bagi memastikan tiada peningkatan jangkitan virus Covid-19 di pulau percutian itu dalam usaha mengimbangi antara nyawa dan kelangsungan hidup serta ekonomi.

Pada Khamis, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan semula destinasi pelancongan pertama negara iaitu Langkawi mulai 16 September ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, antara SOP berkenaan ialah destinasi itu boleh dikunjungi pelancong domestik dari seluruh negara termasuk yang berada dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain