suria

Parlimen: Agong titah hentikan pertelingkahan, jangan jadikan rakyat taruhan

Yang di-Pertuan Agong berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Parlimen. foto Bernama

MESYUARAT Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 membuka tirainya pada Isnin selepas dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Yang di-Pertuan Agong menitahkan ahli politik supaya tidak menjadikan rakyat sebagai taruhan untuk mencapai agenda tertentu.

Al-Sultan Abdullah menasihatkan sebarang pertelingkahan dihentikan supaya Malaysia kekal sebagai negara aman, harmoni dan bersatu.

"Jangan sama sekali meletakkan masa depan rakyat beta sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.

"Justeru, ingin beta menyeru kepada Ahli Yang Berhormat sekalian dan untuk mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 ini.

"Ia dalam masa sama membawa kembali sinar kepada rakyat beta dan negara tanah tumpah darah kita," titah Seri Paduka Baginda dalam pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada Isnin.

Perasmian yang dilaksanakan serentak bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Seri Paduka Baginda turut berpandangan kerjasama dwipartisan bakal membentuk landskap politik baharu, membawa perubahan dalam sistem pentadbiran negara.

Tegas Seri Paduka Baginda, kematangan menerusi kerjasama dwipartisan semua pihak didambakan seluruh rakyat. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain