suria

Sekolah tak boleh selamanya ditutup, tapi ibu bapa diberi pilihan - Radzi

Menurut Radzi, keputusan untuk membuka semula sekolah dibuat berdasarkan keperluan pendidikan dan kemampuan pelajar yang berbeza-beza dari pelbagai latar belakang sosioekonomi. Foto: The Star

KEPUTUSAN untuk membuka semula sekolah ketika pandemik belum reda bukanlah sesuatu yang mudah.

Ini adalah pendekatan seimbang untuk memastikan semua pelajar mendapat akses pendidikan yang berkualiti tanpa menjejaskan kesihatan dan keselamatan mereka.

Pelbagai perkara yang diperkatakan dan diperdebatkan mengenai isu ini, termasuk pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP).

Disebabkan kes harian Covid-19 masih tinggi, ibu bapa mengambil sikap berhati-hati untuk membenarkan anak mereka kembali ke sekolah.

Sehubungan itu, Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin semasa mengumumkan SOP terbaharu pada 12 September lalu berkata, keputusan untuk menghantar anak-anak kembali ke sekolah adalah hak mutlak ibu bapa.

Namun katanya, mereka harus memberi surat kepada sekolah untuk menjelaskan ketidakhadiran anak-anak mereka, manakala pihak sekolah telah diarahkan untuk tidak mengambil tindakan disiplin, atau mengeluarkan surat amaran kepada para pelajar yang berkenaan.

radzi

Kerajaan berpandangan penutupan sekolah yang berpanjangan hanya akan menjejaskan perkembangan pendidikan mereka.

SOP baharu dan lebih komprehensif, katanya, digubal selepas mendapat input daripada semua pihak berkepentingan.

Ini termasuklah guru, ibu bapa, pelajar, pakar dan yang lebih penting lagi, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

SOP terbaharu mengambilkira varian baru Covid-19, selain autonomi yang diberikan kepada ibu bapa.

Antara langkah yang diambil termasuklah hanya 50 peratus kehadiran ke sekolah pada satu masa dengan pelajar di semua kelas dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu sebahagian menghadiri sekolah pada masa yang ditetapkan dan sebahagian lagi menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Tambahnya, pelajar juga akan hadir ke sekolah secara bergilir setiap minggu, dan dalam masa yang sama model penggiliran ini akan terus berjalan sambil kementerian terus memantau situasi Covid-19 di negara ini, dan berkemungkinan membuat perubahan mengikut situasi semasa.

Oleh itu, penyesuaian untuk setiap perubahan dan belajar untuk hidup dengan Covid-19 adalah penting - malah, KKM juga ingin mengkategorikan wabak itu sebagai endemik, menurut Radzi.

Beliau berkata, negara kini sedang menuju fasa pemulihan dan ketika setiap individu kembali menjalani kehidupan seharian dalam norma baharu, terdapat prosedur baru yang harus diikuti.

Dengan pelajar kehilangan sebahagian besar waktu pembelajaran mereka kerana wabak Covid-19, Radzi menegaskan adalah penting untuk membenarkan mereka kembali ke sekolah.

"Kita tidak boleh terus membiarkan mereka seperti ini. Tidak mudah mencari jalan tengah tetapi kami yakin bahawa dengan maklum balas yang diperoleh semasa sesi kami (dengan pihak berkepentingan), ini adalah pendekatan terbaik yang dapat digunakan, walaupun tidak sempurna," tambahnya.

Keputusan untuk membuka semula sekolah juga katanya, dibuat berdasarkan keperluan pendidikan dan kemampuan pelajar yang berbeza-beza dari pelbagai latar belakang sosioekonomi.

Sekolah pada awalnya disasarkan untuk dibuka semula secara berperingkat mulai 1 September, tetapi dengan tekanan hebat daripada semua pihak yang mendesak untuk menangguhkannya ekoran kes harian masih tinggi, Radzi mengumumkan 3 Oktober sebagai tarikh baharu untuk pembukaan semula sekolah.

Walaupun masih wujud tentangan secara berterusan, pendirian menteri ini mudah - penutupan sekolah yang berpanjangan dan tindakan menjarakkan anak-anak daripada persekitaran pembelajaran yang holistik hanya akan menjejaskan perkembangan pendidikan mereka.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain