CANDELIER antara beberapa perabot yang dibawa keluar Datuk Seri Najib Razak dari kediaman perdana menteri Seri Perdana, dakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin. Presiden Bersatu itu berkata beliau mengetahui perkara itu berdasarkan laporan yang diterima daripada pihak Jabatan Perdana Menteri (JPM). "Laporan JPM mengatakan selepas saja kediaman Seri Perdana itu dikosongkan oleh perdana menteri yang keenam dan saya (perdana menteri) kelapan dan saya pun tak masuk ke sana maka untuk membolehkan pengubahsuaian dan penambahbaikan dilakukan. ARTIKEL BERKAITAN: PN capai kata sepakat bahagi kerusi tanpa Umno, BN ARTIKEL BERKAITAN: Longlai selepas disuntik vaksin... rupa-rupanya pelajar ini tidur lewat malam, tak sarapan "Maka kita nak pastikanlah sama ada perabot itu mencukupi dan lain-lain yang saya rasa tak perlu jelaskan," kata Muhyiddin. Beliau mengulas kenyataannya sebelum ini bahawa pihak JPM telah mengesyorkannya perolehan perabot bagi kerja pengubahsuaian Seri Perdana selepas beberapa aset dan perabot milik peribadi bekas perdana menteri keenam dipindah keluar dari kediaman rasmi itu. Muhyiddin menjelaskan, ketika menjadi perdana menteri, beliau tidak menguruskan urusan pemindahan perabot memandangkan hal itu terletak di bawah pengurusan JPM. "Jadi, saya sewaktu menjadi perdana menteri, saya kata tak kisahlah kalau itu hak dia pasal dia dakwa begitu maka terserahlah pada pihak jabatan PM untuk berikan kebenaran untuk beliau mengangkat atau mengeluarkan barang-barang tersebut. "Saya tidak menguruskan soal perkara itu kerana dia ada penjaga, saya tak pasti sama ada daftar inventori perabot dan sebagainya dan itu bukan bidang tugas PM. "Jadi, untuk tujuan itu kita boleh mulakan kerja-kerja penambahbaikan dan sebagainya maka itulah langkah yang telah kita ambil," katanya lagi. Isu kediaman rasmi Seri Perdana berbangkit di Dewan Rakyat apabila Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar mempersoalkan kos pengubahsuain yang tinggi sehingga mencecah RM30 juta di Dewan Rakyat. Susulan pendedahan itu, Najib mengecam Muhyiddin kerana memulakan pengubahsuaian Seri Perdana ketika menjadi perdana menteri, ketika negara memerangi penularan wabak Covid-19. Malah Najib berkata pengubahsuaian yang bermula Mac itu berlaku sebulan sebelum kenyataan Muhyiddin bahawa kerajaan 'sudah tiada banyak wang' ekoran peruntukan yang dikeluarkan untuk menangani wabak itu. Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Latiff Ahmad memberi penjelasan bahawa kos yang tinggi diperlukan untuk ubah suai Seri Perdana disebabkan bangunan itu mengalami banyak kerosakan, seperti penggantian pendawaian elektrik dan kebocoran pada bumbungnya. Katanya, projek itu diluluskan pada 19 Mac 2021 dan kerja-kerja membaik pulih pula bermula pada 29 Mac, dan dijangka siap pada 7 Disember nanti. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI