suria

KKM luluskan vaksin Sinovac untuk remaja 12 tahun ke atas

Vaksin CoronaVac telah diluluskan untuk kegunaan remaja berusia 12 tahun ke atas. -Gambar hiasan foto:BERNAMA

PENGGUNAAN vaksin CoronaVac keluaran Sinovac Life Sciences Co Ltd China dan Pharmaniaga Lifesciences Sdn Bhd Malaysia dalam golongan individu berusia 12 tahun ke atas diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada Jumaat.

CoronaVac sebelum ini telah diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 18 tahun dan ke atas.

"Bagaimanapun PBKD menyarankan agar penggunaan vaksin CoronaVac dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun buat masa ini diutamakan kepada mereka tanpa komorbiditi dan yang mempunyai masalah alahan atau tidak sesuai untuk menerima vaksin Comirnaty," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, kelulusan bersyarat itu memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari masa ke masa.

"Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko vaksin tersebut kekal positif," katanya dalam kenyataan tersebut.

Beliau berkata, penilaian bagi penggunaan CoronaVac dalam kalangan remaja dengan komorbiditi akan diteruskan sebaik sahaja data yang dikemukakan mencukupi.

"KKM sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin Covid-19 di Malaysia dengan memastikan ia telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) serta diluluskan oleh PBKD," katanya.

Dengan pengumuman ini, CoronaVac menjadi vaksin Covid-19 kedua yang diluluskan untuk penggunaan bagi golongan remaja selepas kelulusan sama diberikan kepada vaksin Cominarty, keluaran PfizerBioNTech pada Jun 2021.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain