JOHOR akan beralih dari Fasa 2 ke Fasa 3, manakala Pahang pula akan beralih dari Fasa 3 ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Nasional (PPN). Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, keputusan membenarkan peralihan fasa bagi negeri-negeri berkenaan dipersetujui Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang bermesyuarat pada Rabu. Peralihan fasa tersebut akan berkuat kuasa pada 8 Oktober. ARTIKEL BERKAITAN: Selangor, KL, Putrajaya beralih ke Fasa 3... boleh buat majlis rasmi antara kelonggaran baharu diumum PM "Peralihan fasa ini dibuat mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh PPN dan setelah mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). "Prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri yang memasuki Fasa 3 dan 4 adalah sama seperti sebelum ini. Keterangan SOP terkini akan dikemaskini di laman sesawang www.mkn.gov.my," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Tambah Hishammuddin, mesyuarat juga memutuskan beberapa kelonggaran baharu bagi sektor pajak gadai, tembakau, borong serta upacara perkahwinan bagi penganut Hindu dan Kristian yang akan berkuatkuasa 9 Oktober. "Pelaksanaan Upacara Mengikat Thaali di rumah ibadat kuil bagi agama Hindu dan Pernikahan Kudus (Holy Matrimony) bagi agama Kristian dibenarkan dalam tempoh PPN," katanya "Kementerian Perpaduan Negara akan memaklumkan kepada Persatuan Agama Hindu dan Persatuan Agama Kristian berhubung SOP perlu dipatuhi," katanya lagi. - THE STAR Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI