SEORANG daripada empat Adun Melaka yang mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebelum ini, memohon maaf di atas tindakannya menerusi satu sidang media di Tanjung Kling, pada Rabu. Adun Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan memohon maaf kepada rakyat terutama di kawasannya kerana menjadi sebahagian daripada gerakan yang menyebabkan kerajaan negeri itu tumbang. Nor Azman menegaskan beliau dan Adun Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron tidak mempunyai pilihan dan harus menyelamatkan negeri tersebut daripada apa yang didakwa sebagai 'kepimpinan yang tidak kompeten'. ARTIKEL BERKAITAN: Speaker sahkan DUN Melaka bubar Nor Azman turut menegaskan dirinya masih ahli Umno walaupun Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Selasa mengumumkan bahawa keahliannya dan Idris telah dibatalkan. Kerajaan negeri Melaka yang diterajui BN tumbang selepas empat orang Adun menarik sokongan terhadap kerajaan negeri berkuat-kuasa Isnin lalu (4 Oktober). Selain Nor Azman, tiga yang lain adalah bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron (Umno); Adun Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee (Bebas) dan Adun Telok Mas, Noor Effandi Ahmad (Bersatu). Sebelum ini, kerajaan Melaka diwakili 17 Adun, dengan 14 daripadanya diwakili Umno, Bersatu (2) dan Bebas (1) manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu DAP (7), PKR (2) dan Amanah dua kerusi. - THE STAR Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI