suria

Operasi sekolah di Lembah Klang, Melaka mulai 1 November

Sekolah di Lembah Klang dan Melaka akan dibuka semula bermula 1 November.

PENGOPERASIAN institusi pendidikan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka akan bermula pada 1 November depan.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan memberitahu, pengoperasian institusi pendidikan di bawah kementerian itu berdasarkan peralihan Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Isnin (18 Oktober).

Bagi Melaka, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM terus beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa Tiga pada 18 Oktober.

ARTIKEL BERKAITAN: Sesi persekolahan 2021 dilanjutkan, murid akan 'naik kelas' pada Mac 2022

"Memandangkan negeri-negeri ini akan beralih ke Fasa Empat PPN bermula 18 Oktober, pengoperasian institusi pendidikan di negeri-negeri berkenaan berdasarkan ketetapan Fasa Empat PPN hanya akan bermula pada 1 November," menurut KPM dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut kenyataan itu, KPM menetapkan jika sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM mengikut ketetapan fasa baharu akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan ke fasa tersebut.

Ia membabitkan kemasukan bagi murid Tahap Satu (Tahun Satu, Dua dan Tiga) sekolah rendah serta murid Tingkatan Tiga dan Empat sekolah menengah.

Kehadiran murid Tahap Dua (Tahun Empat, Lima dan Enam) sekolah rendah serta kelas peralihan, Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua sekolah menengah bagi negeri Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur serta Putrajaya akan bermula pada 8 November.

"Institusi pendidikan di bawah KPM ini turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah kementerian bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

"KPM menyarankan supaya ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri," menurut kenyataan itu.

Bagi negeri-negeri lain:

1. Bagi Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Perak dan Sabah yang beralih ke Fasa Tiga bermula 18 Oktober, pengoperasian berdasarkan ketetapan fasa itu bagi Kedah dan Kelantan akan bermula pada 31 Oktober ini.

2. Bagi Pulau Pinang, Perak dan Sabah pula, pengoperasian institusi berdasarkan ketetapan Fasa Tiga PPN akan bermula pada 1 November.

3. Pengoperasian Fasa 3 PPN itu melibatkan murid prasekolah, murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional dan Program Pendidikan Khas Integrasi, Tingkatan Enam Semester Dua, prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya, sekolah harian, sekolah swasta, ‘International Baccalaureate Diploma (IBD)’ serta kelas peperiksaan antarabangsa iaitu IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate serta kelas peperiksaan antarabangsa yang lain.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain