suria

Kanak-kanak 6 tahun maut jatuh di sebuah hotel di Pulau Pinang

Kanak-kanak 6 tahun maut jatuh di sebuah hotel di Pulau Pinang

PERCUTIAN sebuah keluarga berakhir dengan tragedi apabila anak bongsu mereka yang berusia enam tahun maut akibat terjatuh dari hotel mereka menginap di Tanjung Bungah, Georgetown, Pulau Pinang.

Kanak-kanak terbabit serta keluarganya yang berasal dari Sungai Petani, Kedah dikatakan baru selesai mandi di kolam renang hotel berkenaan sekitar jam 11.30am pagi, Isnin.

ARTIKEL BERKENAAN: 20 November depan ditetapkan sebagai tarikh pengundian PRN Melaka

Ibu mangsa yang berusia 44 tahun berkata, mereka sedang dalam perjalanan pulang ke bilik apabila anaknya tiba-tiba lari masuk ke dalam lif.

“Tiada seorang daripada kami yang sempat naik bersamanya ekoran pintu lif tutup dengan cepat.

"Kami mencari dia hampir 10 minit sebelum kami dimaklumkan mengenai penemuan mayat kanak-kanak di tingkat dua hotel tersebut.

“Saya tergamam dan tidak sangka mayat yang ditemui itu adalah mayat anak bongsu saya,” katanya ketika ditemui di lobi hotel tersebut.

Menurut ibu mangsa mereka sekeluarga reda dengan kehilangan anak bongsunya itu walaupun ia merupakan dugaan berat buat mereka.

Mayat kanak-kanak itu dihantar ke hospital Penang untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong mengesahkan insiden terbabit.

Siasatan lanjut kini sedang berjalan. - Malaysian Gazette

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain