KERAJAAN memutuskan untuk melanjutkan pemberian dos penggalak (booster dose) kepada individu yang telah mendapat dos lengkap vaksin Sinovac sekurang-kurangnya tiga bulan lalu. Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, individu tersebut akan diberikan dos penggalak vaksin Comirnaty yang mana keutamaan adalah kepada warga emas berumur 60 tahun dan ke atas. ARTIKEL BERKAITAN: Kumpulan pertama terima dos ke-3 vaksin Covid-19 awal Oktober - KJ "Sebagai permulaan, pemberian dos penggalak secara heterologous ini akan diberikan kepada individu berumur 60 tahun ke atas. "Ia dilakukan secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). "Sebagai permulaan, pelaksanaan pemberian dos penggalak bagi penerima vaksin Sinovac yang layak akan dimulakan pada 22 Oktober secara berfasa di seluruh negara," ujar Khairy. Tambahnya lagi, mereka yang layak akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera dan melalui pesanan ringkas kepada nombor telefon yang berdaftar. Sebelum ini, pelaksanaan pemberian dos penggalak telah dimulakan di seluruh negara sejak 13 Oktober lalu dengan menggunakan vaksin Comirnaty. Untuk rekod, sehingga 19 Oktober lalu, seramai 47,728 telah menerima dos penggalak. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI