suria

Kreatif! Syiling peringatan imej payung terbuka dan figura 50 pekerja simbolik sempena Jubli Emas Perkeso

Syiling peringatan Perkeso ini dikeluarkan dalam dua warna iaitu coloured silver dan nordic gold.

MENCAPAI usia matang adalah suatu tempoh yang sememangnya wajar dikenang kerana tentu sekali ia berkait rapat dengan pelbagai pengalaman termasuk kejayaan dan sebaliknya tragedi yang pasti tersemat kemas dalam lipatan sejarah.

Begitu juga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang meraikan sambutan Jubli Emas 50 Tahun pada 1 Oktober lalu apabila memilih syiling peringatan dan album koleksi setem khas sebagai tanda kematangannya.

Bagi menambah makna kepada hari bersejarahnya, pelancaran koleksi khas tersebut disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, pada Khamis.

Saravanan berkata, sepanjang 50 tahun penubuhan Perkeso, agensi itu berjaya merangka suatu jaringan keselamatan sosial untuk melindungi dan membantu pencarumnya jika mereka ditimpa sebarang malapetaka, bukan hanya ketika bekerja tetapi juga sewaktu dalam perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja.

Beliau turut meminta setiap pekerja termasuk yang bekerja sendiri, agar segera mencarum dengan Perkeso untuk perlindungan sosial jika berlaku sebarang musibah yang tidak diingini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed pula berkata, agensi berkenaan akan terus komited melaksanakan mandatnya untuk berbakti kepada masyarakat bagi tempoh 50 tahun akan datang dan seterusnya.

"Perkeso terus komited menunaikan amanahnya dengan menyediakan faedah-faedah kepada golongan pekerja dan tanggungan mereka, serta menyalurkan bantuan kepada majikan dan pekerja di bawah inisiatif-inisiatif yang diumumkan kerajaan dalam pakej-pakej rangsangan ekonomi.

"Kesemua bantuan yang disampaikan ini bagi meringankan beban hidup golongan sasar dan membantu proses pemulihan ekonomi negara yang cukup terkesan sejak wabak Covid-19 melanda dunia," katanya.

Jubli Emas Perkeso 5

Pelancaran syiling peringatan dan album koleksi setem khas disempurnakan oleh Datuk Seri M. Saravanan (tengah). foto RAJA FAISAL HISHAN/The Star

Pelancaran syiling, setem, lembaran mini dan sampul surat peringatan Perkeso yang disempurnakan oleh Saravanan diadakan serentak dengan perasmian sambutan Hari Deepavali Perkeso bersempena perayaan yang disambut oleh penganut agama Hindu pada 4 November ini.

Pada majlis itu, seramai 100 ibu tunggal dan anak yatim di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur turut disantuni menerusi bantuan duit raya dan hamper, yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Perkeso.

Bagi yang mahu menambah koleksi, syiling peringatan Perkeso ini dikeluarkan dalam dua warna iaitu coloured silver dan nordic gold, masing-masing mempunyai nilai muka RM10 dan RM1.

Apa yang menarik, bahagian hadapan syiling peringatan diukir dengan imej payung terbuka dengan figura 50 pekerja sebagai simbolik 50 tahun Perkeso memayungi golongan pekerja.

Bahagian belakang syiling pula memaparkan bangunan ibu pejabat Perkeso bersama logo Perkeso Prihatin dan Jubli Emas serta tema Jubli Emas Perkeso.

Kedua-dua syiling berkenaan akan dikeluarkan dalam kuantiti yang terhad dan hanya dijual secara dalam talian di laman web https://sers.perkeso.gov.my/ bermula akhir November ini.

Jubli Emas Perkeso 2

Album Koleksi Setem Kenang-Kenangan ‘Setemku 50 Tahun Perkeso’. foto RAJA FAISAL HISHAN/The Star

Perkeso turut menghasilkan Album Koleksi Setem Kenang-Kenangan iaitu 'Setemku 50 Tahun Perkeso' yang mengandungi 10 keping setem dengan nilai 60 sen setiap satu.

Kesemua imej yang ditampilkan dalam setem-setem tersebut menggambarkan keakraban hubungan antara majikan dan pekerja.

Setem dalam koleksi berkenaan turut memaparkan Jata Negara dan logo-logo Perkeso, Perkeso Prihatin dan Jubli Emas, serta tema Jubli Emas Perkeso.

Album Koleksi Setem Kenang-kenangan Jubli Emas Perkeso juga adalah terhad dan boleh dibeli secara dalam talian mulai 29 Oktober ini.

Dalam pada itu, Perkeso juga akan menerbitkan Lembaran Mini yang mengandungi setem mini yang direka khas berkonsepkan lima dekad Perkeso.

Lembaran tersebut memaparkan figura tokoh yang berjasa dalam penubuhan Perkeso iaitu Bapa Pembangunan Malaysia yang juga Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan pencetus ilham Perkeso iaitu Tan Sri A.N. Ambo.

Jubli Emas Perkeso 3

Perkeso menyantuni ibu tunggal dan anak yatim di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sempena majlis pelancaran. foto RAJA FAISAL HISHAN/The Star

Lebih menarik, Sampul Surat Peringatan Perkeso memaparkan imej robot khas, Cyberdyne yang digunakan dalam rawatan pemulihan di Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak di Melaka.

Sampul surat tersebut akan dilekatkan dengan setem bernilai muka 60 sen dan dicop dengan mohor keluaran khas 'Setemku 50 Tahun Perkeso' yang bertarikh 1 Oktober 2021.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan edisi terhad koleksi kenang-kenangan Jubli Emas Perkeso, sila hubungi Puan Juliana Ahmad Junaedhye di talian 012 – 6071013 atau emel [email protected] bagi mengetahui maklumat mengenai jualan dan cara penjualan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain