suria

Bukan sebab duit! Siti Jamumall, Diana Hanani nekad teruskan saman kes tertukar bayi

Siti (tengah) bersama Diana (kiri) dan peguam mereka, Marcus Tan (kanan) ketika sidang media berhubung perkembangan kes tertukar bayi.

"BUKAN sebab duit!"

Demikian tegas Siti Suriani Wahiddin ketika mengulas mengenai tindakannya untuk meneruskan proses perundangan terhadap Hospital Umra berhubung insiden tertukar bayi, Jun lalu.

Kisah Siti Suriani dan suami, Mohammad Syafiq Irfan Azman menjadi tumpuan negara sekitar Jun lalu selepas bayi mereka tertukar dengan bayi milik pasangan Diana Hanani Abdullah dan Muhammad Khairulazman.

ARTIKEL BERKAITAN: “Patutlah anak ni lain, kuat minum susu” - Macam drama! Ibu kongsi detik cemas bawa pulang bayi orang lain, mula rasa pelik muka tak sama dengan gambar

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi tertukar: Suami isteri terganggu emosi, sanggup selongkar sampah cari bukti sebab dah mula rasa sayang - “Tengok anak kami, teringat bayi satu lagi”

Menerusi satu sidang media 'Bayi Yang Tertukar' yang turut disiarkan secara langsung di paltform Facebook dan TikTok baru-baru ini, usahawan yang lebih dikenali sebagai Siti Jamumall itu turut menjawab panjang lebar mengenai insiden yang berlaku lima bulan lalu.

"Kita nak jadikan ini satu mesej penting kepada masyarakat dan semua orang supaya lebih berhati-hati.

"Ini bukan sesuatu yang tak mungkin boleh terjadi. Saya percaya kes tertukar bayi bukan pertama kali berlaku, tapi belum lagi dibawa hingga ke mahkamah," ujarnya.

Sidang media tersebut turut disertai pasangan Diana Hanani dan suami, serta peguam yang mewakili mereka dari Tetuan Marcus Tan & Co.

siti 1

Siti (dua, kanan) bersama Diana (dua, kiri) bertemu selepas menukar kembali bayi mereka gara-gara kesilapan pihak hospital.

Tambah wanita berusia 23 tahun itu lagi, perkara yang lebih membuatkannya berasa terpanggil untuk membawa kes tersebut ke muka pengadilan adalah disebabkan cara pihak hospital berkenaan mengendalikan insiden berkenaan.

"Hari kami dipanggil semula ke hospital untuk tukar semula bayi, saya ada berjumpa dengan orang atasan. Mereka ada cakap apa yang berlaku adalah sesuatu di luar jangkaan.

"Saya ada terdengar mereka nak buang staf yang terlibat. Bagi saya, bukan saya puas hati kalau mereka ambil tindakan nak buang, bagi saya adalah kebertanggungjawaban mereka ke atas anak saya.

"Anak saya dilahirkan pada 2.36 pagi, tapi esoknya dah dibenarkan keluar. Belum cukup 24 jam di bawah pemantauan pihak hospital. Itu sangat merisaukan saya.

"Saya sendiri pula yang terpaksa tanya adakah anak saya dah dapat suntikan, mengenai ujian DNA... saya yang minta hospital buat pemeriksaan yang lebih jelas," ujarnya sambil menambah, ia adalah pengalaman keduanya bersalin di hospital yang sama.

Kita rasa sakit hati, anak tertukar tapi orang kata marketing. Terus terang, benda ini berlaku tanpa dirancang, tanpa sangkaan saya. Buat untuk marketing? Tidak!

SITI JAMUMALL

USAHAWAN

Dalam sidang media yang sama, Siti Suriani sekali lagi menegaskan bahawa apa yang berlaku sama sekali tiada kena mengena dengan tujuan 'marketing'.

"Kita rasa sakit hati, anak tertukar tapi orang kata marketing. Terus terang, benda ini berlaku tanpa dirancang, tanpa sangkaan saya. Buat untuk marketing? Tidak!

"Saya pun tak pernah kenal dan tahu Puan Diana ini siapa tapi Allah dah takdirkan ini terjadi yang kita tak pernah sangka," ujarnya lagi.

Sementara itu, peguam yang mewakili pasangan berkenaan, Marcus Tan berkata, ketika ini pihaknya sudah memfailkan saman pemula untuk proses penzahiran (discovery).

"Untuk waktu ini, ia di peringkat proses penzahiran dahulu sebelum kita failkan saman seterusnya kerana kita perlu mendapatkan maklumat terperinci mengenai doktor, jururawat dan kakitangan yang terlibat, iaitu orang yang mengakibatkan kecuaian.

siti 2

Siti membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.

"Setelah sekiranya kami diberi satu perintah oleh mahkamah, kami akan gunakan maklumat tersebut untuk failkan saman yang seterusnya.

"Menjawab mengenai persoalan mengapa dah lama tapi baru di peringkat penzahiran, pihak kami cuba dapatkan maklumat yang kami nak untuk tindakan mahkamah, tapi pihak peguam hospital ada beri maklumat seperti medical report tapi bukan maklumat lengkap atau maklumat yang diminta oleh pihak Puan Siti dan Puan Diana. Sebab itu makan masa lama," ujarnya.

Tambah peguam tersebut, mahkamah telah menetapkan 10 November ini sebagai tarikh pengurusan kes.

Kisah dua pasangan ini tertukar bayi selepas dilahirkan di sebuah hospital swasta di Shah Alam, Jun lalu, menggemparkan negara dan turut mendapat liputan mStar.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain