SINDIKET jenayah di negara kini dilihat aktif memperdaya serta merekrut keldai akaun di media sosial. Semakan wartawan mStar mendapati terdapat lambakan iklan di media sosial dengan tawaran sehingga RM2,500 kepada sesiapa yang ingin 'menyewakan' kad bank mereka. Iklan-iklan ini malangnya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga maya yang tidak sedar bahawa sikap tamak mereka yang sanggup 'menjual diri' demi mendapatkan wang mudah ini mendorong aktiviti jenayah di negara kita. Iklan yang ditawarkan mendapat sambutan menggalakkan dari pengguna media sosial. Wartawan mStar menyamar dan mendekati beberapa sindiket yang mendakwa menggunakan akaun tersebut bagi tujuan perjudian atau dikenali sebagai Casino. Salah seorang perekrut menjanjikan bayaran sebanyak RM150 selepas mereka menyemak kad bank yang ditawarkan wartawan mStar. Katanya, bayaran tambahan RM250 akan dilunaskan selepas dua minggu, sebelum jumlah tersebut dinaikkan kepada RM800 dan RM1200. “(Guna) untuk masuk duit dan transfer (keluar). “Kami nak sewa enam bulan atau 12 bulan. Lepas habis (tempoh sewaan) kami akan kirim balik kad ATM anda atau (kalau) anda nak terus menyewa, kami (akan) sewa lagi enam bulan. “Jika tak nak terus (sambung tempoh sewaan) kena info (maklumkan) satu bulan awal,” tulis ejen berikut. Wartawan mStar bagaimanapun diarahkan untuk menukar nombor telefon yang didaftarkan pada kad bank tersebut kepada nombor telefon yang diberikan. Ini, jelasnya, bertujuan supaya mereka boleh mendapat akses kepada Kod Pengesahan Transaksi (TAC) serta melakukan transaksi secara dalam talian. Perekrut tersebut kemudiannya mengarahkan wartawan untuk menghantar kad bank terbabit secara pos ke alamat yang hanya akan diberikan selepas arahan penukaran nombor telefon tersebut dilakukan. Selepas beberapa hari tidak diendahkan, perekrut tersebut cuba memancing wartawan dengan menghantar testimoni daripada individu lain yang telah menyewakan akaun bank mereka kepada sindiket terbabit. Menyedari aktiviti ini sesuatu yang menyalahi undang-undang, kesemua maklumat ini disalurkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Bukit Aman. Semakan yang dilakukan bagaimanapun menunjukkan bahawa nombor telefon yang diberi tidak aktif. Perbualan wartawan dengan sindiket keldai akaun. Elak maklumat diri diketahui Selain itu, seorang lagi perekrut bagaimanapun meminta wartawan mStar untuk membeli nombor telefon baharu serta mendaftarkan nombor tersebut sebagai nombor yang akan menerima kod TAC. Ini dilakukan dipercayai bagi menyukarkan lagi usaha pihak polis mengenalpasti identiti mereka. “Jika anda minat nak sewa kad, anda kena sedia/beli satu simkad nombor baharu untuk register dekat kad ATM anda (untuk terima TAC), pastikan akaun online banking sudah aktif. “Lepas tukar bagi tahu saya untuk diberikan alamat bagi mengirim kirim kad. “Lepas terima kad ATM dan sim kad akan disemak, jika semua ok, RM100 akan dimasukan pada hari sama atau hari berikutnya,” dakwa seorang lagi sindiket yang aktif mencari kad untuk disewa. Wujudnya syarikat dan ejen yang mencari keldai akaun Wartawan mStar juga berkesempatan berkenalan dengan seorang ejen yang memperkenalkan dirinya sebagai Mr Ong.Menurut Mr Ong, tugasnya adalah untuk mencari individu yang ingin menyewakan akaun bank mereka untuk kegunaan "pelanggannya".Operasinya bagaimanapun hanya tertumpu di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. “Wang sewa kami bayar minggu-minggu (mingguan), seminggu RM200. “Saya agent, orang tengah sahaja, kalau nanti customer nak sewa saya baru nego (tawar menawar) dengan cik,” balasnya. Perbualan wartawan dengan seorang agen yang memperkenalkan dirinya sebagai Mr Ong. Nombor telefon wartawan tersebar Beberapa minggu selepas wartawan melakukan percubaan untuk mendekati sindiket yang merekut keldai akaun ini, wartawan mula menerima mesej daripada individu-individu tidak dikenali, menawarkan bayaran lumayan untuk menyewa kad bank. Kesemua mereka dilihat menggunakan profile picture seorang wanita. Penjenayah buat “layering” guna keldai akaun elak diri ditangkap Sementara itu, bercakap kepada mStar, Pengarah CCID Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, keldai akaun kini menjadi "senjata ampuh" untuk penjenayah melindungi diri dari dikesan pihak berkuasa. “Mule ini wujud dalam semua jenis jenayah sama ada Ah Long, penipuan penjualan barangan secara dalam talian pun guna mule sekarang, sebelum ini mereka gunakan akaun orang-orang terdekat,” katanya. Kamarudin berkata semua jenis penjenayah menggunakan keldai akaun. Malah, katanya, trend yang dilihat semakin menjadi-jadi ini membolehkan wujudnya syarikat-syarikat yang menawarkan servis untuk mendapatkan serta menguruskan keldai akaun. “Ada syarikat yang uruskan mule ini, maknanya kalau saya nak buat jenayah saya akan engage servis dia kemudian saya bayar komisyen. “Dia akan bagi saya mule account, kemudian saya boleh arahkan dia untuk masukkan duit yang masuk dalam akaun tersebut untuk dimasukkan ke akaun-akaun lain - hujungnya nanti pindah masuk ke akaun sindiket tu sendiri. “Jadi ejen ini akan uruskan semua, dia akan pindahkan duit dari satu akaun ke akaun lain - dia akan buat layering - hujung nanti baru masuk akaun saya, tapi balance lepas tolak bayaran servis,” katanya. Masa panjang untuk kesan penjenayah guna keldai akaun Menurut Kamarudin, tindakan memasukkan duit dari satu akaun ke akaun lain sebelum memindahkan ke akaun yang sebenar ini akan menyukarkan tugas polis mengesan penjenayah terbabit. “Benda ini (transfer dari satu akaun ke akaun lain sebelum masuk ke akaun mereka sendiri) sebenarnya tidak ada kesan pada mereka tapi ia akan menyusahkan kita sebab proses nak pergi dari satu mule ke satu mule memerlukan masa panjang. “Duit tu dan sampai pada dia mungkin dalam tempoh kurang sejam tapi kita nak siasat akan ambil masa berbulan sebelum nak sampai ke akaun yang ke lima atau ke enam, masa tu pun penjenayah mungkin dah lari,” katanya. Guna akaun milik syarikat elak gangguan polis, pihak bank Menurut Kamarudin, penjenayah sindiket ini juga dilihat mula tertumpu kepada akaun milik syarikat. “Syarikat ni (yang terlibat sebagai keldai akaun) kadang-kadang syarikat yang kata orang bak cendawan tumbuh selepas hujan, bukan syarikat yang genuine. "Mereka tahu akaun individu sekarang susah sebab kita selalu attack akaun individu, bank pun concentrate pada akaun individu jadi dia cari orang suruh bukak akaun syarikat kemudian sewakan,” jelasnya. Antara iklan sewa akaun di media sosial. Penyewa kad secara tidak langsung terlibat dengan aktiviti jenayah Menurut Kamarudin, masyarakat perlu sedar bahawa tindakan mereka sewenang-wenangnya memberikan akses kad bank kepada orang lain membantu aktiviti jenayah dalam negara. “Sekiranya kita tak bagi kad bank dan sebagainya kepada sindiket ini sebahagian daripada jenayah yang ada di Malaysia ini kita boleh kawal sebab penjenayah ini tidak akan guna kad mereka sendiri kerana ia boleh mendedahkan identiti mereka. “Maknanya penjenayah akan menghadapi kesukaran sebab macam mana dia nak jalankan aktiviti dia sebab dia tidak boleh berselindung, sekarang kalau kena tangkap, dia tahu dia berada di lapisan paling atas dan sukar untuk kita kesan disebabkan layering yang telah dibuat. “Jadi yang akan kena adalah mule, mule ini akan tunjuk orang ni, orang tu tapi akhirnya aliran itu akan putus,” jelasnya. Mengulas mengenai tawaran iklan menyewa akaun di media sosial, Kamarudin berkata, memandangkan tindakan jenayah tersebut masih belum berlaku, tidak ada peruntukan yang membolehkan polis mengambil tindakan. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI