suria

Umrah norma baharu... rakyat Malaysia disaran semak SOP, ambil kira beberapa perkara sebelum buat tempahan

Rakyat Malaysia kini dibenarkan untuk mengerjakan umrah dengan mematuhi beberapa SOP yang telah ditetapkan.

KERAJAAN telah mengumumkan kebenaran pergerakan merentas negeri termasuk ke luar negara setelah Malaysia mencapai kadar vaksinasi 90 peratus daripada populasi dewasa.

Ini merupakan berita gembira buat jemaah umrah dari Malaysia yang sudah hampir dua tahun perjalanan mereka tertangguh disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Bagaimanapun, pelbagai langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi memastikan proses jemaah menunaikan umrah berjalan dengan lancar dan keselamatan mereka juga terjamin.

Buat masa ini, hanya pakej umrah sahaja yang ditawarkan dengan penerima vaksin Pfizer serta Astra Zeneca diberi kebenaran untuk mengerjakan ibadah di tanah suci, manakala bagi penerima vaksin Sinovac, jemaah perlu mendapatkan dos penggalak bagi menepati prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

ARTIKEL BERKAITAN: Umrah dan mungkin haji antara faedah gagal diperoleh golongan anti vaksin - PM

Peningkatan harga pakej umrah terkini adalah disebabkan SOP yang telah ditetapkan iaitu hanya dua jemaah yang dibenarkan untuk berada di dalam satu bilik dan kos tersebut perlu dikongsi berdua berbanding dengan enam jemaah pada zaman sebelum pandemik.

Selain itu, beberapa lagi kos yang perlu diambil kira termasuklah Cukai Nilai Tambah (VAT) hotel di Arab Saudi dan ujian saringan Covid-19 bagi para jemaah sebelum berangkat ke tanah suci, semasa berada di sana serta sebelum pulang ke tanah air.

Tetapi jumlah jemaah yang ditetapkan dalam satu perjalanan masih sama seperti dahulu iaitu 30 hingga 40 jemaah yang berusia 18 tahun ke atas dan sudah lengkap dos vaksinasi.

Banyak perkara yang perlu diambil berat semasa menunaikan umrah ketika fasa endemik ini memandangkan virus Covid-19 masih lagi wujud dalam kalangan manusia.

Jemaah perlu memuat turun aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna kerana kedua-dua aplikasi ini menjadi mekanisma kepada Arab Saudi untuk memantau banyak perkara, khususnya jadual yang ditetapkan bagi melakukan umrah dan ziarah serta untuk keluar masuk ke mana-mana premis di sana.

Untuk memastikan kebersihan makanan para jemaah terjamin, agensi akan menghidangkannya di dalam bekas bagi mengelakkan mereka terdedah dengan virus dan jangkitan.

Pengurus CS Holidays Sdn Bhd, Maznah Ahmad berkata mereka sudah menawarkan pakej mulai Oktober dan penerbangan pula bermula pada hujung tahun ini sehingga Mac 2022.

Harga pakej yang ditawarkan daripada syarikat ini bermula daripada RM7,940 untuk pakej ekonomi sehingga RM15,000 bagi pakej VIP.

0001

Antara pakej umrah yang ditawarkan oleh CS Holidays.

"Syarikat kami menawarkan pakej umrah selama 12 hari dan 10 malam dan jemaah boleh memilih sama ada mahu ke Madinah atau ke Makkah dahulu untuk melakukan umrah. Mereka tidak perlu risau tentang caj tersembunyi kerana harga yang kami tawarkan dalam iklan itu sudah termasuk semua," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Tambah Maznah, pihaknya juga menyediakan tour leader yang akan mengiringi jemaah sepanjang perjalanan mereka dan akan dibantu oleh mutawif di tanah suci dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kebimbangan ahli keluarga yang berada di Malaysia.

"Buat masa ni ramai yang sudah buat tempahan untuk tunaikan umrah pada Januari dan Februari 2022 kerana ketika itu sedang musim sejuk di sana dan mereka sebenarnya nak tunggu keadaan pandemik ini reda sedikit," katanya.

Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang syarikat Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, ramai yang membuat tempahan untuk menunaikan umrah pada tahun 2022 kerana mahu memberi ruang kepada jemaah lain yang sudah membuat tempahan terlebih dahulu dan mahu mendapatkan dos penggalak sebelum berangkat ke tanah suci.

"Kami sudah memulakannya dengan penerbangan pada 20 Oktober lalu dan ia akan berterusan sehingga Mei 2022. Kita cuba untuk menawarkan pakej yang paling rendah supaya lebih ramai jemaah dapat menyambung semula perjalanan mereka yang tertangguh disebabkan pandemik Covid-19," katanya.

Menurutnya, kos umrah yang ditawarkan oleh Andalusia adalah RM6,990 dan RM8,890 untuk pakej ekonomi dengan jemaah akan berada di tanah suci selama 12 hari 10 malam.

WhatsApp Image 2021-10-28 at 12.42.21 PM

Pakej umrah yang ditawarkan oleh syarikat Andalusia.

"Apa yang membezakan harga setiap pakej adalah hotel. Ada jemaah yang mahu menginap di hotel yang jaraknya lebih dekat untuk ke Makkah atau Madinah dan ia mempengaruhi harga tempat penginapan di dalam pakej," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Travel & Services berkata, pihaknya menawarkan lima pakej umrah Ready To Sell (RTS) iaitu pakej Hijra, Fairuz, Firdaus, Nilam dan Topaz.

"Alhamdulillah kita mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, tak kurang juga pertanyaan yang diterima dari seluruh pejabat cawangan kami di seluruh Malaysia. Pakej yang sedia ada dibuat atau digubah ini, tersedia untuk umat islam di Malaysia memilih bermula dengan serendah RM8,690.

"Kami mengiklankan pakej tersebut untuk jemaah mendaftar tanpa membuat bayaran dan juga tiada caj dikenakan jika mereka melakukan pembatalan," katanya.

WhatsApp Image 2021-11-01 at 12.39.54 PM

Antara pakej umrah yang ditawarkan oleh TH Travels & Services.

Bagi mereka yang ingin menunaikan umrah secara eksklusif, TH Travel & Services ada menawarkan pakej eksklusif bernilai RM12,000 di mana jemaah boleh menetapkan item di dalam pakej tersebut mengikut cita rasa mereka sendiri.

"Kita telah lalui banyak perkara sepanjang tempoh negara dilanda pandemik dan sudah tiba masanya kita mendekatkan diri dengan Allah. Bagi mereka yang berkemampuan, ini adalah peluang anda untuk menunaikan ibadah dan alami sendiri suasana berada di tanah suci," katanya.

Pakej umrah yang ditawarkan oleh syarikat Andalusia tidak menanggung kos untuk membuat ujian saringan Covid-19 dan kuarantin sekiranya diperlukan.

Manakala harga pakej umrah CS Holidays pula, kos hospital telah termasuk di dalam visa umrah selama 14 hari sahaja dan jemaah perlu menanggung sendiri sekiranya melebihi tempoh tersebut, namun berbeza dengan TH Travels & Services yang mengambil kira segala kos perubatan jemaah sepanjang mengerjakan umrah di sana.

Jemaah Malaysia dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kesihatan mereka sebaik sahaja mendaftarkan diri dengan mana-mana agensi umrah supaya segala proses mengerjakan ibadah dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Mereka juga perlu berbincang bersama wakil agensi dengan lebih terperinci tentang apa yang ditawarkan di dalam pakej berkenaan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan semasa berada di tanah suci.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain