suria

Ganja ubat alternatif: Syed Saddiq puji KJ - “Nampaklah team buat kaji selidik, bukan terpaksa jawab“

Khairy berkata akta sedia ada tidak menghalang penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan, jika mematuhi beberapa peraturan.

AKTA sedia ada yang mengawal selia kanabis dan hasilnya di Malaysia iaitu Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952 tidak menghalang penggunaan kanabis bagi tujuan pengubatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata demikian dalam jawatan bertulis di Parlimen sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Bagaimanapun, menerusi jawapan tersebut, Khairy menerangkan suatu keluaran yang mengandungi kanabis yang bertujuan untuk pengubatan manusia boleh digunakan di Malaysia, sekiranya mematuhi undang-undang yang digariskan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan patut kaji semula kes Muhammad Lukman

"Keluaran telah didaftarkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah sepertimana yang ditetapkan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang dibuat di bawah Akta Jualan Dadah 1952;

"Pengimport juga perlu mempunyai lesen dan permit import bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik, Akta Racun serta Akta Dadah Berbahaya.

"Penjualan atau pembekalan runcit untuk rawatan perubatan bagi pesakit terpilih hendaklah dijalankan oleh pengamal perubatan yang berdaftar di bawah Akta Perubatan 1971 atau ahli farmasi berdaftar dengan lesen Jenis A kepada individu tertentu berdasarkan preskripsi yang dikeluarkan oleh pengamal perubatan berdaftar," katanya.

Tambah Khairy, sekiranya terdapat pihak yang mempunyai bukti saintifik yang mencukupi untuk menggunakan kanabis bagi apa-apa tujuan pengubatan dengan mengambil kira aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanannya, maka permohonan untuk mendaftar produk boleh dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah untuk dinilai dan didaftarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 untuk dipasarkan di Malaysia.

Terdahulu, Syed Saddiq meminta Kementerian Kesihatan menjelaskan pendirian Malaysia mengenai penggunaan hemp atau 'medical marijuana' sebagai ubat alternatif.

Menurut bekas Menteri Belia dan Sukan itu, ini kerana ia telah dilaksanakan di banyak negara asing dan diiktiraf oleh komuniti perubatan antarabangsa.

Sebagai tindak balas kepada jawapan Khairy, Syed Saddiq menerusi Twitter beliau melontarkan pujian dengan jawapan Menteri Kesihatan berkenaan.

"Saya benar-benar kagum dengan jawapan yang diberikan @KhairyKJ dan pasukannya di kementerian.

"Ini adalah proses membuat keputusan berasaskan data dan sains. Ganja perubatan dibenarkan apabila prasyarat dipenuhi.

"Jika ia boleh dibuktikan melalui sains, boleh didaftarkan dan ketiga, kerajaan akan memudahkan. Kudos," ciap Syed Saddiq merumuskan jawapan bertulis menteri berkenaan.

Syed Saddiq juga berkata, jawapan yang diberikan pada kali ini benar-benar membuktikan Kementerian Kesihatan 'buat kerja'.

"Nampaklah team buat kaji selidik yang mendalam dan ambil tindakan, bukan sekadar jawab kerana terpaksa jawab," tulisnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain