suria

Tragedi pesawat Hawk: Bapa Mejar Mohd Fareez syukur anak terselamat

Mejar Mohd Fareez Omar terselamat dan kini dirawat di HSJ.

"ALHAMDULILLAH, dia kini selamat dan sedar, tetapi masih dalam pemerhatian doktor," demikian kata Omar Deros, 62, mengulas mengenai keadaan terkini anaknya, Mejar Mohd Fareez Omar.

Sambil melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga, Omar berkata dia banyak menasihati anaknya agar bersabar dan reda dengan ketentuan Tuhan.

"Saya memberitahunya supaya sentiasa mengingati Tuhan dan bersabar dengan apa yang berlaku," kata Omar yang juga seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya dengar dua dentuman sangat kuat” – Pesawat TUDM terhempas, seorang terbunuh

ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga terima ketentuan takdir, jenazah Kapten Mohamad Affendi dikebumikan di Muadzam Shah

Pada malam Selasa lalu, pesawat pejuang Hawk yang dinaiki Mohd Fareez dan Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31, terhempas dalam sesi latihan di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.

Kejadian tersebut mengorbankan Mohamad Affendi manakala Mohd Fareez dilaporkan mengalami kecederaan dan kini sedang diberikan rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Sepanjang perjalanan dari Selangor ke HSJ, Omar berkata dia sempat berbual dengan Mohd Fareez namun keadaannya masih lemah dan tidak banyak bercakap.

"Saya masih tidak mempunyai banyak maklumat mengenai kecederaan anak saya, kecuali mengetahui dia mungkin dibedah," kata Omar sambil menambah Mohd Fareez, 33, adalah anak kedua daripada lima adik beradik.

Abang sulung Mohd Fareez juga berkhidmat dalam pasukan TUDM.

Sementara itu kakak kepada Allahyarham Mohamad Affendi yang hanya mahu dikenali sebagai Nur berkata abangnya sedang menjalani latihan di pangkalan TUDM di Butterworth sebelum kemalangan maut itu berlaku.

"Allahyarham bertanggungjawab dan berbakti kepada keluarganya.

"Kami amat sedih dengan tragedi yang berlaku, tetapi memilih untuk menerima kematiannya sebagai takdir," katanya sambil menambah bahawa Mohamad Affendi dan isterinya, Nurul Izati Shari menetap di Labuan.

Merupakan anak sulung daripada tiga adik beradik, Mohamad Affendi baru sahaja dianugerahkan Anugerah Green Endorsement bulan lalu berikutan kejayaannya mengendalikan pendaratan kecemasan pesawat.

Jenazahnya telah dibawa pulang ke kampung halamannya di Muadzam Shah, Pahang, untuk disemadikan. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain