suria

Guna MyKad individu lain untuk suntik vaksin Covid-19, wanita warga asing dipenjara

Umur wanita itu dan negara asalnya yang sebenar masih dalam siasatan.

SEORANG wanita yang menggunakan salinan MyKad orang lain untuk mendapatkan dua dos vaksin Covid-19 di Lahad Datu dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret.

Nurul Fariza Abdullah mengaku bersalah atas tiga tiga pertuduhan di bawah Peraturan 25 (1) (e) & (o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana menggunakan salinan MyKad milik seorang wanita bernama "Marujum binti Pengiran".

Majistret Lahad Datu Ryan Sagirann Rayner Jr menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak mulai tarikh tangkapan pada 16 November lalu.

Kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurut dokumen mahkamah, wanita itu telah menggunakan salinan MyKad pada 17 Ogos dan 7 September tahun ini untuk mendapatkan dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di pusat vaksinasi Lahad Datu.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Mohd Naser Mohd Nadzeri manakala Nurul diwakili Muhammad Abdul Karim.

Menurut pegawai Jabatan Pendaftaran Negara Sabah,, Nurul ditahan pada 16 November ketika dia hadir ke pejabat JPN Lahad Datu untuk mengesahkan kad pengenalan.

Umur wanita itu dan negara asalnya yang sebenar masih dalam siasatan. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain