suria

Kongsi asam garam 2 tahun belajar secara online, siswa akui gangguan Internet cabaran terbesar! Kini Gen Z lega... Bajet 2022 macam-macam ada

Haikal memberitahu bahawa, belajar secara dalam talian ketika tempoh pandemik memberi pengalaman baharu kepadanya dan rakan-rakan sekuliah.

KETIKA pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober lalu, Muhammad Haikal Hakimi Yusri antara jutaan rakyat Malaysia yang menonton dengan tekun ucapan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sebelum ini, penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Jasin, Melaka itu tidak pernah memberi tumpuan kepada pembentangan belanjawan negara kerana menganggap ia tidak penting, namun kali ini dia benar-benar berminat untuk mengetahui apa yang akan dikatakan oleh Tengku Zafrul.

ARTIKEL BERKAITAN: Intipati Bajet 2022: Bantuan khas RM700 kepada 1.3 juta penjawat awam

Sudah tentu pelbagai bantuan untuk golongan belia dan pelajar sepertinya membuatkan Muhammad Haikal, 22, berasa lega kerana ia amat diperlukan bagi mengharungi suasana pandemik yang tidak menentu ketika ini.

"Sejujurnya saya jarang memberi perhatian kepada pembentangan bajet tetapi kali ini ia benar-benar menarik minat saya kerana ingin mengetahui apakah bantuan yang diberikan kepada golongan seperti saya," katanya.

Kenangan Bersama Rakan-rakan

Sebelum pandemik... Memori bersama rakan-rakan di universiti amat dirindui.

Berkongsi tentang dirinya, Muhammad Haikal yang juga pelajar peringkat Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Tani memberitahu bahawa dua tahun menghadiri kuliah secara jarak jauh bukan perkara mudah.

Malah dia dan rakan-rakan yang lain pernah berasa keliru dan tertekan dengan kaedah baharu itu sehingga menjejaskan tumpuan mereka terhadap kuliah.

"Masa mula-mula diberitahu semua pelajar perlu menghadiri kelas secara dalam talian, kami bingung kerana tidak dapat membayangkan bagaimana ia dilakukan.

"Pada awalnya semua agak kelam kabut sehingga ada yang culas menghadiri kelas dan keadaan itu membuatkan kami berasa tertekan," katanya.

Haikal Belajar Secara Online

Belajar dalam talian mempunyai cabaran tersendiri terutama dalam memastikan sambungan Internet dalam keadaan baik.

Antara masalah Internet dan bajet untuk belia

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini memberitahu bahawa antara cabaran terbesar belajar dalam talian adalah gangguan Internet, selain perlu mengeluarkan lebih banyak wang untuk membeli data tambahan.

Itu belum termasuk ada yang perlu membeli komputer riba baharu sehingga terpaksa berhutang kerana dia daripada keluarga daif.

"Jika di universiti, sekiranya tiada komputer riba atau Internet, kami boleh menggunakan perkhidmatan yang disediakan di fakulti atau perpustakaan bagi menyiapkan tugasan.

"Tidak semua pelajar bernasib baik, bukan sahaja perlu membeli komputer tetapi kos hidup juga meningkat kerana perlu membeli data tambahan.

Tengku Zafrul delivering the Budget 2022 speech in Parliament on Friday (Oct 29). - Bernama

Tengku Zafrul ketika membentangkan Bajet 2022 di Parlimen pada 29 Oktober lalu.

"Itu belum mengambil kira faktor komputer atau telefon rosak, memang banyak duit perlu digunakan," katanya.

Namun katanya, dia dan rakan-rakan bernasib baik apabila pihak universiti turut memberikan pelbagai bantuan selain mendapat RM200 menerusi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) tahun lalu.

Muhammad Haikal turut teruja dengan pengumuman Tengku Zafrul mengenai inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia yang mana setiap pelajar dalam kategori B40 akan menerima sebuah tablet selain kerajaan menyediakan peruntukan RM450 juta untuk membiayai kos peranti menerusi Bajet 2022.

Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada 600,000 siswa dan siswi di seluruh negara.

gf

Info grafik ringkas mengenai manfaat kepada Belia dalam Bajet 2022.

Program eStart dengan kredit RM150 secara one-off ke dalam akaun e-dompet belia berumur 18 hingga 20 tahun termasuk pelajar sepenuh masa di Institut Pengajian Tinggi (IPT) turut sangat membantu.

Bajet 2022 bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera' dan bersandarkan tiga paksi utama, iaitu Memperkukuh Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan, dibentangkan dengan jumlah RM332.1 bilion.

Selain daripada PerantiSiswa Keluarga Malaysia dan eStart, golongan belia khususnya pelajar IPT turut menerima inisiatif berikut;

1. Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) diberikan kepada golongan status bujang sebanyak RM350.

2. Baucar Perlindungan Tenang bagi penerima bantuan B40 dinaikkan kepada RM75 untuk membeli produk Perlindungan Tenang termasuk takaful hayat, kemalangan diri dan polisi insurans komprehensif bagi motosikal 150cc ke bawah bermula 1 Januari 2022.

Peranti

Perantisiswa Keluarga Malaysia bakal memberi manfaat kepada 600,000 mahasiswa IPT daripada keluarga B40.

3. Manfaat Perlindungan mySalam dilanjutkan kepada semua penerima BKM dan manfaat peranti perubatan juga dilanjutkan kepada anak penerima BKM. Belia di Malaysia khususnya golongan B40 yang berumur 18 tahun ke atas menerima manfaat tambahan daripada inisiatif skim takaful perlindungan kesihatan percuma oleh kerajaan iaitu mySalam.

4. Bagi golongan wanita, kit kebersihan diri secara percuma (tuala wanita) bagi 130,000 remaja wanita disediakan.

5. Kerajaan turut membantu menampung kos pengangkutan di laluan tidak ekonomik dengan menyediakan Pas MyRail berharga RM5 sebulan bagi perjalanan tanpa had untuk pelajar menaiki keretapi oleh KTMB. Pas perjalanan tanpa had bas dan rel bernilai RM50 untuk pengguna di Lembah Klang.

Bajet 2022 ab

Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kepada 9.6 juta orang pada 2022.

Perniagaan kecil-kecilan usaha sendiri

Tidak hanya berpeluk tubuh, Muhammad Haikal mengambil inisiatif bersama dua sahabat baiknya menjalankan perniagaan pisang goreng cheese yang dikenali dengan nama Pishangking.

Katanya, perniagaan kecil-kecilan itu dilakukan bagi menambah duit poket yang digunakan untuk menampung kos hidup dan pembelajaran.

"Saya memandang pandemik ini sebagai suatu hikmah dan sebagai seorang pelajar saya tidak boleh terus mengharapkan ibu bapa dan perlu berdikari dalam keadaan sukar ketika ini.

Pishangking

Muhammad Haikal dan dua rakannya turut membuka perniagaan kecil-kecilan bagi menambah pendapatan ketika pandemik.

"Alhamdulillah dua lagi rakan berfikiran sama jadi kami berbincang bagaimana cara mendapatkan wang tambahan untuk meringankan beban.

"Perniagaan kecil-kecilan ini banyak mengajar saya tentang erti berdikari, usaha dan tidak berputus asa dalam apa juga situasi," ujarnya.

Pun begitu kata Muhammad Haikal, itu tidak bererti dia dan rakan-rakannya melupakan tanggungjawab sebagai pelajar. Sebaliknya sentiasa meletakkannya sebagai keutamaan.

"Membawa laptop dan membuat assignment sementara menanti pelanggan itu perkara biasa kerana pelajaran tidak boleh diabaikan," ujarnya.

Bersama Pensyarah

Muhammad Haikal berharap dapat kembali ke kampus tidak lama lagi.

Meskipun semakin selesa dan menjadi biasa untuk belajar dalam talian, namun Muhammad Haikal berharap dapat kembali ke kampus dalam masa terdekat.

Jelasnya, dia rindukan suasana di kampus dan teruja untuk bersatu kembali dengan semua rakan-rakannya yang sudah lama terpisah.

"Setakat ini tidak banyak memori bersama rakan-rakan sekuliah melainkan hanya bertemu dalam Zoom atau berbual menerusi WhatsApp,” ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain