suria

Demi satu undi di PRN Melaka, pesakit strok sanggup bayar RM200 naik ambulans

Abdul Rahim dibantu petugas SPR dan petugas kesihatan turun daripada ambulans. foto Sinar Harian

KERANA satu undi boleh membawa perubahan, seorang pesakit angin ahmar sanggup membayar perkhidmatan kemudahan ambulans swasta untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu.

Pengundi berusia 57 tahun, Abdul Rahim Yaacob sanggup mengeluarkan kos kira-kira RM200 bagi mendapatkan perkhidmatan tersebut untuk mengundi.

"Kalau hilang satu undi, kita rugi," kata Abdul Rahim.

ARTIKEL BERKAITAN: PRN Melaka: Hari ini penentuan, rakyat keluar mengundi

Abdul Rahim yang mengalami sakit itu sejak empat bulan lalu merupakan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu tetap mahu menunaikan tanggungjawab membuang undi dan tiba seawal jam 8.15 pagi.

undi ambulan 2

Abdul Rahim menunjukkan kesan dakwat menandakannya telah selesai mengundi bagi DUN Lendu. foto Sinar Harian

"Tanggungjawab ini demi negara, wajib ditunaikan. Jadi saya semangat datang untuk mengundi walaupun tidak sihat selain sukar berjalan.

"Saya datang dari rumah bukan hospital. Jadi ambulan kerajaan tak ambil..kenalah keluar duit sendiri lebih kurang RM200 untuk pergi dan balik," kata penduduk Kampung Durian Daun kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Pembuangan Undi Sekolah Kebangsaan Durian Daun (K), Masjid Tanah di Alor Gajah, pada Sabtu.

Seramai 10,561 berdaftar bagi kerusi DUN Lendu yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru iaitu Datuk Seri Sulaiman Md Ali(Barisan Nasional), Mejar (B) Abdullah Mahadi(Perikatan Nasional) dan Mohamad Asri Ibrahim (Pakatan Harapan). - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain