suria

Lembaga pengelola sekolah St Michael sokong tindakan asingkan guru yang tak divaksin

Seorang guru mendakwa dia diasingkan di stor tukang cuci sekolah.

LEMBAGA Pengelola Institusi St Michael (BOG) menyokong tindakan pengetua sekolah itu mengasingkan seorang guru yang tidak divaksin, kata pengerusi Tan Sri Lee Oi Hian.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkannya dengan pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah itu Simon Yeong Chin Chow pada Khamis (25 Nov), mereka bersetuju bahawa pengetua telah mematuhi semua prosedur.

BOG dan Persatuan PIBG sekolah menambah bahawa mereka mengetahui prosedur operasi standard Covid-19 di bawah Akta Kawalan Penyakit Jangkitan serta arahan daripada Kementerian Pendidikan.

"Pengetua kami telah mematuhi semua prosedur, dan BOG menyokong tindakannya," tambah mereka dalam kenyataan itu.

Media pada Rabu (24 Nov) melaporkan mengenai keluhan seorang guru yang ditempatkan berasingan di bilik stor sekolah itu kerana menolak daripada divaksin.

Pengetua SMK St Michael, Sit Wai Yin berkata, guru itu adalah satu-satunya guru yang masih belum mendapat dos vaksin Covid-19 dan oleh itu dia tidak dibenarkan berinteraksi secara bersemuka dengan guru atau pelajar lain.

Video guru terbabit dimuat naik di TikTok pada hari Isnin (22 Nov) dan telah menerima lebih 1.2 juta tontonan.

Mengikut garis panduan pengurusan dan operasi sekolah yang ditetapkan oleh Kementerian, mereka yang belum diberi vaksin atau menolaknya masih perlu pergi ke sekolah tetapi perlu mematuhi semua garis panduan dan arahan.

Mereka tidak dibenarkan menjalankan pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dan tidak berada di dalam bilik atau kawasan yang sama dengan pelajar atau kakitangan sekolah yang lain. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain