suria

Poster ‘Selamat Datang ke Penjara Sungai Buloh’ tersebar, Najib kecewa keputusan mahkamah

Penafian berhubung penularan poster yang memaparkan wajah Najib.

MEDIA sosial digemparkan dengan penularan poster yang memaparkan wajah bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan ucapan mengalukan kedatangan beliau ke Penjara Sungai Buloh.

Ia susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada Rabu, mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib berhubung kes penyelewengan dana milik SRC International Sdn Bhd.

"Selamat datang kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, mantan perdana menteri Malaysia ke-6," demikian tulisan pada poster tersebut yang disertakan logo Jabatan Penjara.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes seleweng dana SRC: Najib tetap didapati bersalah, hukuman 12 tahun penjara dan denda kekal

Bukan sekadar itu, ucapan tersebut turut disampaikan secara sindiran, 'Sabun jatuh, jangan peduli'.

Susulan itu, Jabatan Penjara membuat penafian berhubung poster yang tular.

"Penyebaran berita palsu," menurut Jabatan Penjara di laman twitter rasminya @penjaramalaysia, pada petang Rabu.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan pada mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib, yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.

Mahkamah Rayuan mendapati Datuk Seri Najib Razak diberikan kuasa istimewa dalam SRC kerana peranannya sebagai Perdana Menteri ketika itu.

Susulan itu, Najib Razak kemudian meluahkan kekecewaannya berhubung dengan keputusan tersebut.

Najib menerusi sidang media secara dalam talian mendakwa, pihaknya telah mengarahkan pasukan pembelanya untuk memfailkan rayuan dengan kadar segera.

"Saya ingin mengatakan bahawa saya sangat kecewa dengan penghakiman yang disampaikan oleh Mahkamah Rayuan pagi ini, saya telah meminta peguam saya untuk memfailkan rayuan," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain